Wednesday, December 24, 2008
Tuesday, December 23, 2008
Santa Clause Melayu Islam?
Santa Clause MelayuMengucap tahniah kepada kaum bukan Islam sempena hari-hari kebesaran agama mereka seperti hari Krismas, Deepavali, Thaipusam dan sebagainya, termasuk antara masalah furu' (cabang) dalam akidah Islam yang diperselisihkan antara ulama pada zaman ini. Perselisihan pendapat antara ulama mengenai hukum itu,berpunca daripada tasawwur yang kurang jelas terhadap maksud ucapan selamat hari-hari kebesaran kaum Islam yang dikemukakan itu.
Jika maksud pengucapan itu adalah ikut serta berhari raya, merelai kekufuran kaum bukan Islam dan berkasih sayang dengan mereka atas nama agama, maka sememangnya haram dan sama sekali tidak boleh dilakukan.
Jika maksud ucapan selamat hari-hari kebesaran kaum bukan Islam itu tidak lebih daripada hanya ikut bercuti pada hari itu, membalas ucapan selamat Hari Raya yang diucapkan terdahulu, atau hanya memperlihatkan rasa senang hati dengan kegembiraan mereka berhari raya, maka kiranya pengucapan seumpama ini tidak termasuk dalam hal-hal akidah yang sekali gus menunjukkan rela hati terhadap agama dan kepercayaan mereka.
Meneliti beberapa fatwa yang dipamerkan melalui laman-laman web, seperti Islam-Online.net, Islam.qa.net. Islamweb dan lain-lain, didapati beberapa ulama terkemuka di dunia Islam kini turut memfatwakan hukum merayakan hari-hari kebesaran kaum-kaum bukan Islam. Antara mereka yang mengeluarkan fatwa dan pendapat ialah:
1. Muhammad Saleh al-Munajjid, seorang ulama dan ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi. Beliau berpendapat hukum mengucap tahniah kepada bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka seperti hari Krismas dan sebagainya adalah haram dan bertentangan asas-asas akidah Islam. Alasan beliau ialah:
Pertama: Hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam disuruh supaya tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Barang siapa meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka ia daripada golongan mereka - (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093).
Kedua: Dalam suatu kaedah, ulama Islam telah mengambil ketetapan iaitu merelai kekufuran adalah kufur. Ikut serta berhari raya dengan kaum bukan Islam, serta mengucap tahniah dan selamat Hari Raya kepada mereka, adalah antara tanda kerelaan hati terhadap kekufuran seseorang. Islam menolak sekeras-kerasnya sikap itu.
Ketiga: Umat Islam dikehendaki bersikap benci terhadap kaum bukan Islam. Mereka wajib mencintai hanya kepada orang mukmin. Sikap ini disebutkan dalam salah satu judul Sahih al-Bukhari iaitu al-Hub fi'llah wa al-bughd fi'llah min al-iman (antara ciri iman ialah cinta dan benci kepada Allah). Inilah juga sikap yang wajib diteladani pada nabi Muhammad s.a.w., iaitu berkeras dengan bukan Islam dan berkasih sayang sesama mukmin (surah al-Fatah: ayat 29).
Sebagai kesimpulan, mengucap tahniah kepada kaum bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka adalah suatu bentuk kasih sayang dan merelai kekufuran mereka. Keadaannya sama dengan merelai berlakunya kejadian-kejadian maksiat dan dosa-dosa seperti zina, minum arak dan sebagainya.
Dua komen kepada pandangan Syeikh al-Munajjid ini, iaitu:
a. Pendapat beliau tidak membezakan antara jenis kafir, sama ada musyrikatau ahli kitab, kafir yang memusuhi Islam dan yang tidak memusuhinya, sedangkan al-Quran membezakan antara jenis-jenis kafir itu, lalu al-Quran membenarkan umat Islam berbuat baik terhadap kafir yang tidak memusuhi Islam dan memberi sedikit keistimewaan kepada kafir ahli kitab seperti harus kahwin dengan wanita mereka dan makan haiwan sembelihannya.
Hubungan dua hala
Khusus bagi kaum kafir yang tidak memusuhi Islam, Allah mengharuskan berbuat baik kepada mereka, iaitu dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 yang bermaksud:
Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu.
Tentang ahli kitab pula Allah berfirman dalam surah al-Ma'idah, ayat 5 yang bermaksud: Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka.
Ayat ini menunjukkan adanya hubungan dua hala antara kafir ahli kitab dengan umat Islam dan juga dengan kafir yang setia kepada kerajaan Islam.
b. Fatwa beliau tidak mengecualikan juga hubungan kemanusiaan, sedangkan bidang-bidang kemanusiaan kita tidak dilarang mengadakan hubungan baik. Hubungan yang langsung terputus dengan sendirinya tidak memberi laluan kepada pendakwah untuk menyatakan kebaikan Islam kepada mereka, sedangkan agama ini adalah agama dakwah, agama damai dan selamat. Perang hanya berlaku apabila dakwah ditolak, jalan-jalan damai tidak wujud lagi kepada pendakwah.
Pandangan Syeikh al-Munajjid ini agak sehala dan sedikit keterlaluan, kerana tidak mengecualikan kafir yang tidak memusuhi Islam dan yang setia patuh kepada pemerintahannya. Fatwa beliau juga tidak membezakan antara amalan Hari Raya kaum bukan Islam yang ada hubungan dengan akidah dan yang tiada hubungan dengan akidah.
Memang jelas haram bagi umat Islam menyertai Hari Raya kaum bukan Islam, seperti memasang lampu warna-warni di keliling rumah, menghias rumah dengan pokok Krismas, menyertai perarakan Hari Deepavali dan lain-lain, kerana amalan ini ada hubungan terus dengan akidah. Tetapi jika mereka menghulur makanan pada hari itu dan kita terimanya dengan baik hati, serta mengucapkan terima kasih kerana hadiah yang diberi mereka, saya kira ia tidak ada kena-mengena dengan akidah, bahkan harus kita terima hadiah dan makanan halal yang mereka beri.
Demikian juga jika pada hari-hari kebesaran itu merupakan hari kelepasan am, semua pejabat dan kakitangan kerajaan diberi cuti, termasuk kakitangan beragama Islam. Tidak masuk akal jika kita bersuka ria kerana bercuti pada hari itu, maka kita boleh dianggap turut membesarkan syiar agama dan budaya kaum bukan Islam.
2. Dr. Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat: Jika kaum bukan Islam memulakan ucapan selamat Hari Raya mereka kepada kita, maka kita juga harus membalas ucapan yang serupa kepada mereka, kerana ini tidak lebih daripada hanya mewujudkan rasa simpati antara satu sama lain. Ia tidak bermakna bahawa kita telah merelakan agama dan kepercayaan terhadap Isa Maryam sebagai Tuhan dan lain-lain pemujaan.
Al-Qaradawi memberi beberapa alasan, antaranya: Islam tidak melarang kita berbuat baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan kita. Kita harus berbuat baik kepada mereka, sebagaimana mereka berbuat baik kepada kita. Ayat 8 dalam surah al-Mumtahanah yang dikemukakan terdahulu dijadikan hujah.
Menurut al-Qaradawi lagi, bidang-bidang kerjasama antara Islam dan bukan Islam seperti bidang teknikal, ketukangan dan lain-lain masih terbuka. Bahkan Nabi s.a.w. pernah menggunakan kepakaran seorang Yahudi bernama Abdullah Ibn Urayqit sebagai penunjuk jalan ketika baginda berhijrah ke Madinah.
Peranan Abdullah ini sangat besar, ada kemungkinan jika dia berniat jahat pada ketika itu, kesannya boleh menggagalkan strategi hijrah atau jika dia mengambil kesempatan menipu, maka sudah pasti kesannya sangat buruk kepada Islam dan dakwah, namun baginda tetap menggunakan juga khidmat kepakaran Yahudi yang bukan Islam itu.
Sebagai kesimpulan, Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat harus bagi kita mengucapkan tahniah dan selamat Hari Raya seperti hari Krismas kepada kaum bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini.
Pendapat al-Qaradawi ini juga dikira ada sedikit keterlaluan apabila beliau mengharuskan ucapan tahniah kepada kaum bukan Islam sebagai ucapan balas pada hari Krismas dan sebagainya. Ini kerana ucapan tahniah itu pada hakikatnya doa dan mengharapkan Allah memberi kebaikan kepada mereka, sedangkan ulama sepakat menyatakan haram berdoa kepada kaum bukan Islam sekalipun ia hanya kerana membalas ucapan yang mereka mulakan.
Tidak ada kepastian apakah al-Qaradawi mengharuskan juga pengiriman perutusan kad-kad hari Krismas, jika ia hanya kerana membalas kad-kad yang mereka kirimkan, sedangkan dalam kad-kad itu biasanya tertulis kata-kata yang berupa doa selamat, harapan dan cita-cita yang lebih mirip kepada budaya dan syiar agama Kristian.
Setelah mempertimbangkan antara dua fatwa yang dikeluarkan oleh al-Munajjid dan al-Qaradawi di atas, Makanya lebih baik memilih jalan yang lebih sederhana, iaitu individu kafir yang dengan terang-terang memusuhi Islam dan umatnya, tidak harus diwujudkan sebarang hubungan pada hari-hari perayaan mereka, sekalipun mereka terdiri daripada ahli kitab.
Sebaliknya kafir yang setia kepada kerajaan Islam, seperti kaum-kaum bukan Islam yang tinggal di Malaysia, jika mereka telah menunjukkan kesetiaan yang baik kepada negara, memberi sumbangan ke arah keharmonian antara kaum serta hormat-menghormati antara kaum, terutamanya dengan masyarakat Islam, maka tiada salahnya kita berkongsi raya dengan mereka dalam hal-hal yang tidak berkaitan akidah dan tidak menyentuh kesucian Islam.
Bagaimanapun, kita tidak harus memandang kecil isu penerapan budaya dan syiar bukan Islam yang begitu mudah menyerap ke dalam masyarakat kita, terutama melalui media elektronik yang sangat digemari oleh anak-anak kita.
Saturday, December 20, 2008
Video Ijab Kabul Mawi Ekin
Selamat Pengantin Baru Kami Ucapkan Kepada Mawi Semoga Berkekalan Sepanjang Hayat Bersama Amin...
Mawi, Ekin sah suami isteri
![]() |
| Mawi dan Ekin di majlis pernikahannya di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru |
JOHOR BAHRU 20 Dis. - Penyanyi Mawi atau Asmawi Ani, 27, dan Ekin atau Nora’ashikin Rahmat, 29, selamat melangsungkan pernikahan mereka di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini.
Dengan hanya sekali lafaz, Mawi yang mula dikenali selepas bergelar juara program popular, Akademi Fantasia (AF3) itu, sah menjadi suami kepada pelakon tersebut.
Pasangan berkenaan dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Johor Bahru, Mahad Mohd. Said, pada pukul 11.40 pagi.Mawi-Ekin sah suami isteri
![]() |
Mawi bersama isterinya, Ekin melambaikan tangan kepada para peminat selepas majlis pernikahan mereka di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru semalam. |
JOHOR BAHRU 20 Dis. – Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi Asmawi Ani, 27, atau Mawi hari ini sah bergelar suami kepada Nora’ Asikin Rahmat, 29, atau Ekin apabila kedua-dua mereka diijabkabulkan di Masjid Sultan Abu Bakar di sini kira-kira pukul 11.45 pagi ini.
Mengenakan pakaian sedondon berwarna putih gading tajaan Butik Cosry, majlis akad nikah disempurnakan oleh imam masjid tersebut, Datuk Mahat Mohd. Said dengan empat orang saksi termasuk penyanyi Akhil Hayy mewakili keluarga Mawi dan pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadhilah Kamsah bagi pihak keluarga Ekin.
Majlis dimulakan apabila rombongan pengantin perempuan membawa masuk 11 dulang hantaran yang terdiri daripada jam tangan, kasut, dompet, tali pinggang, sejadah berserta songkok, al-Quran, cincin, set pewangi, buah-buahan dan sirih junjung.
Ia diikuti rombongan pengantin lelaki membawa sembilan dulang hantaran berupa al-Quran, cincin, tas tangan, kasut, jam tangan dan alat solek, pewangi, kek, sirih junjung serta wang hantaran berupa cek bernilai RM30,000.
Walaupun raptai majlis tersebut diadakan sehari sebelum upacara itu, Mawi dilihat agak berdebar tetapi dapat melafazkan akad nikah dengan lancar.
Sebaik sahaja akad nikah selesai, Mawi diberi peluang membaca taklik dan seterusnya melakukan sujud syukur bersama imam masjid berkenaan, Mahadir Yahya.
Majlis menjadi agak lucu apabila Mawi kelihatan kekok dan terus ketawa apabila diminta jurugambar untuk mencium dahi isterinya selepas sesi menyarungkan cincin bagi membatalkan air sembahyang serta menyerahkan mas kahwin sebanyak RM22.50.
Bagaimanapun suasana sedikit hiba apabila Ekin mengalirkan air mata ketika mendengar pesanan ibunya, Fatimah Saad.
Upacara akad nikah itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis lebih dua jam bermula pukul 10.30 pagi.
Ini merupakan majlis pernikahan artis kedua yang disiarkan secara langsung selepas majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 pada 21 Ogos 2006.
Pada sidang akhbarnya, Mawi berkata, beliau amat gembira kerana akhirnya bergelar suami kepada Ekin selepas melalui pelbagai dugaan sepanjang perkenalan mereka.
“Sebelum ini kami menghadapi macam-macam dugaan tetapi akhirnya kami disatukan juga sebagai suami isteri,” kata Mawi yang akan melantik Ekin sebagai perunding imej dan pengurusnya.
Kata Mawi, antara faktor yang menambah perasaan sayangnya terhadap Ekin ialah apabila melihat pengorbanan isterinya yang tabah menghadapi tekanan ketika dikecam oleh segelintir pihak.
Ekin yang akan membuka butik busana Muslim selepas perkahwinan berpendapat, dia membuat keputusan yang betul memilih Mawi sebagai suaminya walaupun penyanyi itu turut dilemparkan pelbagai tuduhan.
Sementara itu, majlis resepsi sebelah keluarga perempuan akan diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) malam ini dengan 1,500 tetamu. Majlis sambut menantu di sebelah pihak lelaki pula akan diadakan pada 28 Disember ini di Felda Taib Andak, Kulai.
Mawi, Ekin selamat diijab kabul: Penyanyi popular, Asmawi Ani atau Mawi dan Nora'ashikin Rahmat atau Ekin selamat diijab kabul di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, semalam. | | ||||||
| |||||||
Thursday, December 18, 2008
Apakah Itu Bertapa,Uzlah,Suluk,Khulwah
Kena cukup ilmu sebelum bertapa
Soalan :
Apakah hukum seseorang Islam yang membuat keputusan untuk bertapa di tempat sunyi dalam tempoh tertentu untuk meningkatkan ilmu pertapaan dan mendalami perkara ghaib.
Jawapan:
Bertapa, suluk, uzlah dan khulwah adalah satu perbuatan yang bermaksud bersunyi-sunyian di satu tempat yang jauh dari keluarga dan masyarakat dalam tempoh yang tertentu. Ulama Islam mempunyai pendapat yang berbeza dalam hal ini. Kebanyakan mereka yang zuhud menyatakan uzlah itu lebih baik dari bermasyarakat dengan membawa hujah dari hadis Rasulullah SAW yang diceritakan oleh Uqbah bin Amir R A yang bermaksud "Aku bertanya "Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk selamat? Sabda baginda: Peliharalah lidahmu, diamilah rumahmu dan tangisilah dosa-dosamu (at-Tirmizi)
Uzlah ini ada kebaikan dan ada keburukannya seperti dapat menumpukan sepenuh masa kepada ibadat dan merasai nikmat munajat kepada Allah SWT. Dapat melepaskan diri dari empat jenis maksiat yang timbul hasil dari pergaulan iaitu mengumpat, tidak menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran, riya' dan terpengaruh dengan akhlak buruk tanpa disedari. Dapat menyelamatkan diri dari fitnah dan permusuhan jika berlaku perselisihan pendapat antara beberapa golongan masyarakat. Bebas dan selamat dari kejahatan manusia seperti perasaan dengki, sakit hati orang lain. Tetapi jika seseorang itu bertapa atau beruzlah dengan ilmu syariat masih belum mantap atau dia seorang guru yang perlu mengajar penuntut, maka uzlahnya adalah sesuatu kerugian kerana tidak dapat belajar atau mengajar ilmu itu. Orang beruzlah juga tidak dapat mengambil manfaat dan memberi manfaat kepada orang lain atau mendidik diri sendiri dan orang lain iaitu mendapat pahala untuk diri sendiri serta membantu orang lain mendapat pahala.
Adab beruzlah antaranya ialah mempunyai niat menghalang kejahatan terhadap orang lain dan menyelamatkan diri dari kejahatan orang lain. Sentiasa dalam keadaan berilmu, beramal dan berzikir serta berfikir ketika beruzlah. Berpada dengan kehidupan sederhana. Bersabar dengan kerenah manusia sama ada masyarakat memuji atau mengejinya atas tindakan dilakukan itu. Mempunyai teman soleh untuk menemani dan memberi sokongan sepanjang masa beruzlah. Dan akhirnya apabila berasa sepi kerana beruzlah, maka ia perlu banyak mengingati mati.
Wednesday, December 17, 2008
Adakah Islam Mengongkong Wanita?

Islam beri kebebasan wanita cipta peradaban
Turut jadi tonggak kemajuan negara dalam segala bidang termasuk di medan perang
MENDIRIKAN sebuah rumah, tidak mungkin mampu jika tidak ada tiangnya. Begitu juga untuk menegakkan agama, tidak mungkin terpacak jika tidak ada tiangnya. Demikian untuk membangunkan sesebuah negara mesti bermula dengan menyediakan tiangnya. Tiang bagi negara ialah wanita. Sesuai seperti yang dikatakan oleh pepatah, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Tegaknya rumah kerana ada tiangnya. Kuat agama kerana ada solatnya. Kukuh negara pada wanitanya. Oleh itu, negara perlukan sebuah tiang yang baik dan kuat. Cendekiawan ada berkata, tiang negara yang baik ialah terasnya iman, kayunya lslam. Tiang yang buruk terasnya nafsu, kayunya syaitan.
Wanita yang kental jiwa bukan saja dapat menyelamatkan dirinya tetapi juga bangsa dan negara. Pujangga tersohor, Muhammad Iqbal pernah berkata:
"Wahai dikau kelumbungnya menjadi hijab yang memelihara kehormatan kami, suatu rahmat bagi kami, kekuatan agama kami, asas umat kami. Bibir putera kami meneguk susu di dadamu sejak mulanya belajar menyebut 'La ilaha ilallah'. Cintamu yang mencorakkan pemikiran kami, kata-kata kami, amalan kami. Panahan kilat yang beradu dalam awanmu berkemilau di gunung menyapu tanah pamah."
Lantaran itu, lelaki harus perkasakan diri bagi menjunjung syariat dengan ilmu dan hikmah untuk memayungi wanita daripada segala tohmahan dan fitnah atau menegakkan wanita daripada jatuh terkulai dan meluruskan bengkoknya daripada bercakaran.
Dengan segala kelemahan, sebenarnya wanita perlukan pimpinan dan bimbingan, namun sesuatu kepemimpinan tidak mungkin sempurna tanpa wanita.
Lelaki dan wanita dijadikan Allah SWT mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Islam membahagikan hak dan tanggungjawab kepada lelaki dan wanita bersama- berganding bahu memikul amanah serta tanggungjawab untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara.
Islam tidak mendiskriminasikan antara lelaki dan wanita malah memberi hak dan tanggungjawab sesuai dengan fitrahnya. Lelaki dengan risalah kepemimpinan sementara wanita dengan kelembutan menunai risalah keibuan.
Perbezaan hak antara lelaki dan wanita sudah dijamin oleh Islam. Pembahagian itu untuk menyelaraskan kerja bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang benar-benar berjaya dan maju.
Namun, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya diizinkan Allah bagimu iaitu wanita keluar rumah untuk sesuatu hajat yang sebenar yang tiada maksiat."
Wanita bukan sekadar berperanan di dapur dan menjaga rumah tangga saja. Dunia Barat menganggap Florence Nightingale sebagai pelopor jururawat sedangkan hal demikian sudah dipraktikkan oleh wanita sebelumnya.
Catatan sejarah menulis bahawa pada abad ke-15, dunia Barat mengenali Joannne D'Arch sebagai pahlawan, malah beberapa wanita ditonjol sebagai pahlawan kerana keberaniannya, jasa serta ketokohan dan pengabdian kepada masyarakat.
Hakikatnya, wanita Islam adalah perintis utama kebebasan, kecerdasan, kemajuan, keunggulan dan ketamadunan dalam sejarah kerana wanita Islam pada abad ketujuh Masihi sudah memainkan peranannya seperti dalam Perang Khaibar serta Khandak.
Wanita Islam bukan saja terkenal dalam kegiatan kepahlawanan tetapi juga dalam aspek lain seperti pada zaman Abbasiyah muncul Siti Zubaidah berperang di samping suaminya Harun al-Rasyid. Ummul Fadha dan Fakrun Nisaa' pula adalah antara dua orang sarjana berpengetahuan yang tiada tandingan.
Tamadun dulu sudah menunjukkan peranan wanita bukan sekadar menjaga suami serta mengasuh anak saja. Peranan wanita melebihi tugasan itu sesuai dengan fitrah kejadian mereka serta sifat semula jadi yang dimiliki untuk bersama membina peradaban.
Arab Rai Kasut Terbang
BERIBU-RIBU penunjuk perasaan menunjukkan kasut sebagai lambang bantahan mereka terhadap Bush di Baghdad, kelmarin.Rakyat bergembira kejadian dianggap berjaya hina Bush
BAGHDAD: Rakyat Iraq dan negara Arab lain semalam menyambut dengan gembira berita Presiden George W Bush dilempar dengan kasut pada sidang akhbar di Baghdad kelmarin.
Ramai di Asia Barat tidak menganggap insiden itu sebagai gurauan.
Rakaman memaparkan Bush mengelak ‘kasut terbang’ pada sidang akhbar di Baghdad itu diulang tayang di rangkaian televisyen satelit serantau dan menjadi saluran bagi orang Arab melepaskan geram terhadap Bush.
‘Padan muka Bush,’ kata seorang peniaga Jordan, Raed Mansi, di Amman.
Membaling kasut ke arah seseorang adalah satu penghinaan besar dalam budaya Arab. Ia seumpama memberitahu seseorang: “Awak lebih hina daripada kotoran di tapak kasut saya.”
‘Kasut terbang’ itu menjadi imej terakhir Bush di Iraq sebelum berundur sebagai presiden 20 Januari ini.
Wartawan stesen televisyen Iraq, Muntadhar al-Zeidi yang melempar kasut berkenaan dan ditangkap oleh pihak berkuasa selepasnya, dianggap sebagai seorang wira di negara Arab.
“Semua rakyat Iraq harus bangga dengan lelaki berani ini. Sejarah akan selama-lamanya mengingati beliau,” kata seorang guru sekolah rendah di Baghdad.
Seorang profesor sains politik di Universiti An Najah di Tebing Barat, Abdel-Sattar Qassem menulis secara online dalam kolumnya:
“Bush mahu mengakhiri kepemimpinannya dengan pujian dan kata-kata aluan daripada konconya di negara Arab dan Islam.
“Tetapi kasut pula diterimanya daripada seorang lelaki Arab sebenar menandakan sejarah hitam Bush dan membolehkan orang Arab berasa bangga semula.”
Seorang pelajar berusia 23 tahun pula berkata di Kaherah: “Saya berulang kali melihat video kasut terbang itu di dalam You Tube dan berasa seronok setiap kali melihat (al-Zeidi) berdiri dan memanggil Bush anjing.
“Tetapi, sayang kasut itu tidak mengenai Bush,” katanya. - AP
Wednesday, December 10, 2008
Hiburan Orang Beriman
SEMUA orang sukakan hiburan. Malah ada ketikanya hiburan menjadi suatu keperluan bagi sesetengah orang seperti makanan dan minuman.
Alasannya, hiburan boleh mendatangkan ketenangan, mengurangkan tekanan dan menyegarkan emosi.
Benar, ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan seseorang itu jadi pemarah, perengus, tertekan dan keresahan.
Menyuburkan emosi memang penting kerana dari situ akan timbul sikap kasih sayang, prihatin dan peka pada persekitaran sekeliling.
Tetapi apabila disebut hiburan bukanlah semata-mata yang mungkin difahami anak remaja kini iaitu nyanyian, konsert, pesta, karaoke, kelab malam atau berpeleseran saja. Malah, melihat keindahan alam, melancong, berekspedisi, berkelah atau seumpamanya adalah hiburan.
Bagi lebih jelas, kita lihat tiga kategori hiburan, iaitu:
i- Bagi seorang mukmin iman, amal ibadat, wirid dan zikir atau apa saja perbuatan yang membawa pahala daripada Allah adalah hiburan.
Ini kerana hasil daripada itu adalah ketenangan dan ketenteraman. Jiwa yang sentiasa hidup dan segar. Emosi pula terkawal.
Perkara inilah yang dimaksudkan Allah dalam al-Quran iaitu firman-Nya bermaksud: “Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang.”
ii- Hiburan kategori kedua pula iaitu apa saja cara yang dapat menghilangkan keresahan dan kerunsingan yang tidak bertentangan dengan syariat serta akidah.
Malah, jika dihayati hiburan jenis ini dapat dijadikan cara untuk mendekatkan diri pada Allah. Umpamanya, jika berkelah atau berekspedisi di samping dapat menghilangkan bosan dapat juga merasai kehebatan ciptaan Allah, meresap di jiwa lalu timbul rasa gerun kepada-Nya.
Tetapi hakikatnya, ramai yang tidak menyedari hikmah di sebalik berhibur. Jadi, hiburan hanya sekadar hiburan, terhenti setakat itu saja.
Namun, hiburan kategori ini selagi mana tidak bercanggah dan tidak memberi kesan negatif, ia ibarat ubat mengurangkan kesakitan yang dapat menghilangkan keresahan buat seketika, tetapi tidak dapat menghapuskan punca keresahan itu.
iii- Hiburan kategori ketiga pula ialah yang paling popular di kalangan ramai kini, terutama muda-mudi. Konsert artis, nyanyian yang lalai, pesta, kelab malam, berpasangan dan seumpamanya adalah menjadi hambatan hidup remaja kini.
Hiburan ini bukan saja tidak bersifat menyembuhkan, malah umpama penagihan dadah. Memang seronok, ibarat gula-gula, manis dan sedap tetapi tidak mengenyangkan.
Keseronokan itu bukan bererti kebahagiaan atau ketenangan. Malah, beransur-ansur membawa akibat buruk dan negatif pada jangka masa panjang.
Hiburan kategori ini mendatangkan kesan buruk pada hati yang tidak dapat dikesan. Hati menjadi keras, gelap, lalu terdinding daripada mendapat kelazatan mengingati Allah, malah sukar untuk menerima kebenaran.
Justeru, orang yang mendapat hiburan hakiki (sebenar) umpama mendapat hidangan dan makanan lazat lagi enak, tidak perlu lagi pada gula-gula yang tidak berkhasiat.
Selalunya hanya kanak-kanak yang amat gemar pada gula-gula, manakala golongan dewasa tidak kerana mereka lebih mengutamakan makanan mengenyangkan.
Tuesday, December 9, 2008
Mimpi Baik vs Mimpi Buruk

PERNAHKAH anda bermimpi? Bagaimana, jika ia mimpi sedih atau gembira? Malah, ada yang tidak bermimpi, hanya buat-buat cerita.
Ada orang berkata, mimpi hanya mainan tidur atau sekadar aktiviti roh yang tidak ada kaitan dengan kehidupan. Tetapi Islam sebagai agama sempurna, memimpin penganutnya dan mengajar kaedah untuk menanggapi persoalan mimpi.
Begitu juga mimpi mengenai kenabian Nabi Yusuf a.s yang disebut ayat 4 hingga 6 dalam surah Yusuf, maksudnya: “(Ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku. Bapanya berkata: Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu ta’bir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Yaqub sebagaimana Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenek mu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Begitu juga perkhabaran mengenai kejayaan Nabi Muhammad s.a.w memasuki Makkah. Dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Fath, ayat 207, maksudnya: “Sesungguhnya! Allah membenarkan Rasul-Nya dalam perkara mimpi itu dengan sebenarnya; iaitu bahawa kamu akan memasuki Masjid Al-Haraam Insya-Allah dengan aman; mencukur kepalamu, dan menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut, kerana Ia mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia sediakan sebelum itu, satu kemenangan yang dekat.”
Dalam sejarah, sebenarnya banyak lagi perkhabaran melalui mimpi, kemudian menjadi kenyataan, seperti mimpi Nabi Yusuf yang mentafsir mimpi raja Mesir dalam surah Yusuf, ayat 43 hingga 49, maksudnya: “Dan raja Mesir berkata: Sesungguhnya aku mimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menta’birkan mimpi.
Mereka menjawab: Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur-aduk, dan kami bukanlah orang yang me ngetahui mimpi-mimpi itu. Dan berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan teringat akan Yusuf sesudah beberapa waktu: Aku akan memberitahu kepada kamu akan orang yang pandai menta’birnya. Oleh itu, hantarkanlah daku pergi kepadanya. Yusuf, wahai orang yang benar! Ta’birkanlah kepada kami tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan yang lain kering; supaya aku kembali kepada orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui ta’birnya. Yusuf menjawab: Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas itu, tujuh tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan bagi mereka; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan untuk dijadikan benih. Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah hasil.”
Kepada manusia biasa, Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya); mimpi yang benar daripada Allah, mimpi buruk daripada syaitan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Malah, dalam Islam juga mimpi menjadi tanda bermula kewajipan seseorang menunaikan syariat iaitu mimpi baligh (sampai umur). Apabila seseorang kanak-kanak bermimpi hingga keluar mani, tanda dia sudah baligh dan kewajipan solat, malah semua rukun Islam seperti orang dewasa. Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab merisik-risik anaknya yang baligh, sebab kadangkala anak malu untuk bercerita.
Begitu juga mimpi solat istikharah pada mereka yang ingin mendapat petunjuk dalam membuat pilihan. Kadang-kadang jawapan datang dalam mimpi.
Bolehkah percaya pada mimpi? Anda boleh percaya pada mimpi sebagai satu perkhabaran gembira, tetapi ingat, mimpi tidak terlepas daripada pengaruh syaitan, yang kerjanya menipu dan menghiasi perbuatan kotor seolah-olah baik. Contohnya, pandai berkenalan dengan perempuan yang bukan mahram melalui ruangan sembang (chat). Syaitan akan meniupkan bisikan dan pengaruh anda dalam mimpi, ke mudian mendorong anda melakukan maksiat. Kemudian, anda beriya-iya mencari nombor ekor, kemudian terbayang dalam mimpi.
Ada juga mimpi dianugerahi Allah pada mereka yang akan mendapat hidayah, seperti mimpi mendengar azan, seorang bukan Muslim akhirnya memeluk Islam. Sahabat Nabi s.a.w, Abdullah bin Salam masuk Islam kerana mimpi sudah masuk Islam. Kemudian, Said bin As mimpi bapanya mendorongnya ke neraka, tetapi selepas itu bermimpi Rasulullah s.a.w menarik pinggangnya dan keesokannya dia masuk Islam.
Melalui perbincangan di atas, ada mimpi baik dan mimpi buruk. Bagaimana untuk mendapat mimpi baik? Untuk mendapat mimpi baik, seorang Muslim mesti berakhlak baik dan bercakap benar, sebab Nabi s.a.w mengatakan, semakin benar orang itu, semakin benar mimpinya. Pastikan tidur dalam keadaan berwuduk, berdoa sebelum tidur, membaca al-Quran sebelum tidur dan berzikir (ingat Allah) sehingga terlena. Tetapi mimpi bukan sumber hukum
Penerangan Tentang Azab...Bala...Musibah...
Pertanyaan :
Akhir-akhir ini dalam waktu terdekat ini banyak terjadi bencana alam dan kecelakaan yang menyebabkan korban yang jumlahnya bukan sedikit. Misalnya : tsunami, gempa bumi, gunung berapi, pesawat jatuh, kapal tenggelam, kebakaran, kenderaan terbalik dan berlanggar, banjir, tanah runtuh, angin puting beliung, dan masih banyak lagi. Sebahagian orang menyatakan kejadian tersebut ada kaitannya penduduk negeri ini. Mereka berpendapat bahawa penduduk negeri ini sudah terlalu banyak berdosa sehingga diberi siksa oleh Allah.Yang terbaru Di negara kita ialah runtuhan gunung di Bukit Antarabangsa yang meranapkan hampir 15 buah banglo. Benarkah demikian?
Jawapan
:
DEFINISI (Bala)
Secara literal, al-bala’ atau bala bermakna al-ikhtibar (ujian). Istilah bala’ sendiri digunakan untuk menggambarkan ujian yang baik mahupun yang buruk (Imam ar-Razi, Mukhtâr al-Shihâh, hal. 65).
Dalam kitab al-Tibyân fi Tafsîr Gharîb al-Qur’an dinyatakan, bahwa bala’ itu memiliki tiga bentuk; ni’mat (kenikmatan), ikhtibaar (cubaan atau ujian), dan makruuh (sesuatu yang dibenci) (Syihâb al-Dîn Ahmad, al-Tibyân fi Tafsîr Gharîb al-Qur’an, juz 1, hal. 85).
Di dalam al-Quran, kata bala’ disebutkan di enam tempat, dengan makna yang berbeza-beza;
Qs. al-Baqarah [2]: 49;
Qs. al-A’râf [7]: 141;
Qs. al-Anfâl [8]: 17;
Qs. Ibrahim [14]: 6;
Qs. ash-Shafât [37]: 106;
Qs. ad-Dukhân [44]: 33
Ada yang bermakna cubaan dan ujian yang dibenci manusia. Ada pula yang bererti kemenangan atau kenikmatan (bala’ hasanah).
Bala’ dalam konteks ujian yang buruk, misalnya terdapat di dalam firman Allah SWT berikut ini:
“Dan pada yang demikian itu terdapat cubaan-cubaan yang besar dari Tuhanmu.”
(Qs. al-Baqarah [2]: 49)
Ayat ini bercerita tentang Bani Israil diselamatkan dari penyembelihan dan kekejaman Fir’aun. Menurut Ali ash-Shabuni, bala’ dalam ayat ini adalah al-mihnah wa al-ikhtibâr (ujian dan cubaan) yang ditimpakan oleh Fir’aun kepada Bani Israil; iaitu penyembelihan anak laki-laki (Ali ash-Shabuni, Shafwât at-Tafâsîr, juz 1, hal. 57).
Adapun bala’ dalam konteks ujian yang baik terdapat dalam firman Allah SWT berikut ini:
“Maka sebenarnya, bukan kamu yang membunuh mereka. Akan tetapi Allahlah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allahlah yang melempar. Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin, dengan kemenangan yang baik (bala’an hasanan). Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Qs. al-Anfâl [8]: 17).
Menurut Imam al-Baidhawi dalam Tafsir al-Baidhawi, kata bala’ pada ayat di atas adalah kenikmatan yang diberikan Allah kepada orang-orang beriman, yang berujud, pertolongan Allah (al-nashr), al-ghanimah (harta rampasan perang), dan al-musyahadah (mati syahid) (Imam al-Baidhawi, Tafsir al-Baidhawi, juz 3, hal. 97).
Musibah.
Musibah adalah al-baliyyah (ujian) dan semua perkara yang dibenci oleh manusia. Imam Ibnu Mandzur, dalam Lisân al-‘Arab menyatakan, bahwa musibah adalah al-dahr (kemalangan, musibah, dan bencana) (Imam Ibnu Mandzur, Lisân al-‘Arab, juz 1, hal. 535).
Menurut Imam al-Baidhawi, musibah adalah semua kemalangan yang dibenci dan menimpa umat manusia. Ini didasarkan pada sabda Rasulullah Saw, “Setiap perkara yang menyakiti manusia adalah musibah.” (Imam al-Baidhawi, Tafsir al-Baidhawi, juz 1, hal. 431).
Kata musibah disebutkan di sepuluh ayat, dan semuanya bermakna kemalangan, musibah, dan bencana yang dibenci manusia. Namun demikian, Allah SWT memerintahkan kaum Muslim untuk menyakini, bahwa semua musibah itu datang dari Allah SWT, dan atas izinNya.
Allah SWT berfirman:
“Tidak ada sesuatu musibahpun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepadanya hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Qs. al-Taghâbun [64]: 11)
‘Azab.
Secara literal, ‘azab adalah al-nakâl wa al-‘uqûbah (peringatan bagi yang lain, dan siksaan [hukuman]) (Imam Ibnu Mandzur, Lisân al-‘Arab, juz 1, hal. 585). Al-nakâl adalah peringatan yang berupa siksaan atau hukuman kepada yang lain. Kata al-‘adzab biasanya digunakan pada konteks hukuman atau siksaan kelak di hari akhir.
Allah SWT berfirman:
“Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka siksa yang amat berat.” (Qs. al-Baqarah [2]: 7).
“Sesungguhnya, orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih.” (Qs. al-Isrâ’ [17]: 10), dan lain sebagainya. Namun demikian, kata ‘azab juga digunakan dalam konteks hukuman di kehidupan dunia.
Allah SWT berfirman:
“Tak ada suatu negeri pun yang derhaka penduduknya, melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab Lauh al-Mahfuudz.” (Qs. al-Isrâ’ [17]: 58).
Menurut Ali ash-Shabuni, jika penduduk suatu kota ingkar atau bermaksiyat kepada perintah Allah SWT, mendustakan Rasul-rasulNya, nescaya Allah akan menghancurkan mereka, baik dengan kehancuran secara total (pemusnahan), mahupun ditimpa dengan hukuman yang amat keras (Ali ash-Shabuni, Shafwât at-Tafâsîr, juz 2, hal. 165).
Di ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
“Sekiranya mereka tidak bercampur baur, tentulah Kami akan mengazab orang-orang kafir di antara mereka dengan adzab yang pedih.” (Qs. al-Fath [48]: 25).
Tatkala menafsirkan ayat ini, Ali ash-Shabuni mengatakan, “Seandainya orang-orang kafir itu dipisahkan satu dengan yang lain, kemudian dipisahkan antara yang mukmin dengan yang kafir, tentulah Allah akan mengazab orang-orang kafir dengan azab yang sangat keras, berupa pembunuhan, penawanan, mahupun pengusiran dari negeri mereka-negeri mereka.” (Ali ash-Shabuni, Shafwât at-Tafâsîr, juz 3, hal. 48).
Keterangan ini diperkuat dengan firman Allah SWT yang lain, iaitu:
“Dan jikalau tidaklah kerena Allah telah menetapkan pengusiran terhadap mereka, benar-benar Allah mengazab mereka di dunia. Dan bagi mereka di akhirat azab neraka.” (Qs. al-Hasyr [59]: 3).
Ayat ini bercerita tentang pengusiran Bani Nadzir, sekaligus mengisahkan, bahawa jikalau Allah SWT tidak menetapkan hukuman pengusiran terhadap Bani Nadzir, nescaya mereka akan diazab dengan pembunuhan (al-qatl). Hukuman bagi mereka cukup dengan pengusiran, bukan pembunuhan seperti halnya hukuman bagi Yahudi Bani Quraidzah.
Ayat di atas juga menunjukkan, bahwa ‘azab tidak hanya berasal dari Allah SWT saja, akan tetapi juga bersumber dari manusia sendiri, iaitu berupa hukuman di kehidupan dunia.
Penyebab Datangnya ‘Azab Daripada Allah
Pada dasarnya, penyebab datangnya ‘azab Allah SWT adalah kezaliman, kemaksiatan, dan kefasikan.
Allah SWT telah menyatakan hal ini di beberapa ayat; diantaranya adalah firman Allah SWT:
“Dan tidak pernah Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.” (Qs. al-Qashash [28]: 59).
“maka tidak dibinasakan kecuali kaum yang fasik.” (Qs. al-Ahqâf [46]: 35).
“Kami telah membinasakan mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berbuat dosa (al-mujrim).” (Qs. ad-Dukhân [44]: 37).
Ayat-ayat di atas menunjukkan, bahwa ‘azab Allah hanya akan dijatuhkan kepada penduduk negeri yang melakukan kezaliman, kemaksiatan, dan kefasikan. Dengan kata lain, ‘azab Allah hanya akan dijatuhkan, tatkala peringatan-peringatan Allah SWT melalui lisan RasulNya telah diabaikan dan didustakan.
Akan tetapi, ada beberapa riwayat yang menunjukkan, bahwa ‘azab Allah boleh saja mengenai orang-orang mukmin tatkala mereka enggan mencegah kemungkaran padahal mereka mampu melakukannya.
Dari Adi bin Umairah dikatakan, bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab orang-orang secara keseluruhan akibat perbuatan mungkar yang dilakukan oleh seseorang, kecuali mereka melihat kemungkaran itu di depannya, dan mereka sanggup menolaknya, akan tetapi mereka tidak menolaknya. Apabila mereka melakukannya, nescaya Allah akan mengazab orang yang melakukan kemungkaran tadi dan semua orang secara menyeluruh.” [HR. Imam Ahmad].
Sedangkan ‘azab manusia, baik berupa pembunuhan, keganasan, pengusiran, dan lain sebagainya semata-mata tergantung dari kehendak manusia itu sendiri. Contohnya, Fir’aun pernah mengumumkan hukuman bunuh bagi bayi yang lahir laki-laki. Rasulullah Saw menghukum Bani Quraidzah dengan pembunuhan atas pengkhianatan mereka. Nabi Saw juga pernah mengusir Bani Nadzir dari kota Madinah, sebagai hukuman atas dosa yang mereka lakukan.
Jenis-Jenis ‘Azab Allah
‘Azab Allah SWT ada dua jenis. Pertama, ‘azab yang ditimpakan kepada penduduk suatu negeri yang berakibat musnahnya penduduk kota tersebut (isti’shâl). Kedua, ‘azab yang sangat keras, akan tetapi tidak sampai memusnahkan penduduk negeri tersebut.
‘Azab jenis pertama dijatuhkan Allah SWT kepada umat terdahulu, seperti kaumnya Nabi Nuh, kaum Tsamud, dan lain sebagainya. Kaum-kaum tersebut telah dimusnahkan Allah SWT akibat pengingkaran mereka terhadap tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Sebab, jika tanda-tanda kebesaran Allah SWT telah ditunjukkan kepada suatu kaum, namun kaum tersebut tetap saja ingkar dan mendustakan Allah dan RasulNya, maka Allah SWT pasti akan memusnahkan kaum tersebut.
Allah SWT berfirman:
“Tak ada suatu negeripun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari Kiamat atau kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu tertulis di dalam kitab (Luh Mahfudz). Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan tanda-tanda kekuasaan Kami) , melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu.” (Qs. al-Isrâ’ [17]: 58-59).
Allah SWT telah menetapkan, bahawa orang-orang yang mendustakan tanda-tanda kekuasaanNya akan dimusnahkan Allah SWT. Tanda kebesaran Allah ini pernah diberikan kepada Rasul-rasul terdahulu; misalnya, unta betinanya Nabi Shaleh bagi kaum Tsamud. Sayangnya, kaum Tsamud mengingkari tanda kebesaran Allah ini. Akhirnya kaum Tsamud dimusnahkan dari muka bumi. Majoriti ahli tafsir menyatakan, bahwa ayat ini berhubungan dengan permintaan orang-orang Quraisy kepada Nabi Saw agar beliau Saw menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah sebagai bukti kebenaran kenabian dan risalahnya. Akan tetapi, Allah SWT memberitahu Nabi Saw, bahawa jika Allah mengabulkan permintaan mereka, namun mereka tetap saja ingkar dan mendustakan tanda-tanda kebesaran Allah tersebut, nescaya mereka akan dimusnahkan, sebagaimana kaum-kaum terdahulu (Ali ash-Shabuni, Shafwât at-Tafâsîr, juz 2, hal. 165).
Oleh karena itu, Allah SWT tidak mengiyakan permintaan kaum Quraisy tersebut, kerana Ia tidak ingin memusnahkan kaum Quraisy.
Dari sini kita boleh menyimpulkan, bahwa ‘azab isti’shâl (pemusnahan) tidak akan menimpa umat Muhammad Saw. Tetapi, umat Muhammad Saw tidak luput dari ‘azab yang keras, jika mereka melakukan kezaliman, kefasikan, dan kekufuran.
‘Azab Akibat Pembesar-Pembesar Fasiq Dan zalim
Jika pembesar-pembesar suatu negeri atau kota melakukan kemaksiatan kederhakaan, dan kezaliman, nescaya Allah akan mengirimkan ‘azab kepada penduduk negeri tersebut.
Al-Qur’an telah menyatakan hal ini dengan sangat jelas:
“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah SWT), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu. Maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” (Qs. al-Isrâ’ [17]: 16).
Ibnu ‘Abbas tatkala menafsirkan ayat ini menyatakan:
“Maksud ayat ini adalah, jika Kami (Allah) telah memberikan kekuasaan kepada pembesar-pembesar di sebuah kota, kemudian mereka berbuat maksiat di dalamnya, maka Allah SWT akan menghancurkan penduduk di negeri tersebut dengan ‘azab.” (Mukhtashar Tafsir Ibnu Katsir, juz 2, hal. 371).
Di ayat lain, Allah SWT telah menyatakan kerosakan di darat dan laut akibat perbuatan manusia.
Allah SWT berfirman:
“Telah terlihat kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali ke jalan yang benar.” (Qs. ar-Rûm [30]: 41).
Imam Baidhawi berkata, “Yang dimaksud dengan kerosakan (pada ayat tersebut) adalah al-jadb, kebakaran yang merajalela, ketenggelaman, hilangnya keberkatan, dan banyaknya kelaparan, akibat kemaksiatan dan ulah perbuatan manusia.” (Imam al-Baidhawi, Tafsir al-Baidhawi, juz 2, hal. 106).
Menurut Imam Ibnu Katsir, yang dimaksud kerosakan adalah berkurangnya hasil-hasil pertanian dan buah-buahan kerana kemaksiatan manusia. Sebab, baiknya bumi dan langit tergantung dengan ketaatan (Mukhtasar Tafsir Ibnu Katsir, hal. 57).
Kezaliman penguasa, keengganan rakyat melakukan koreksi dan muhasabah terhadap penguasa merupakan pembuka datangnya ‘azab dari Allah SWT. Sebaliknya, ketaatan kepada Allah SWT merupakan kunci bagi kebaikan bumi dan seisinya.
Penutup
Seorang mukmin harus menyakini, bahwa seluruh musibah yang menimpa dirinya berasal dari Allah SWT. Sebab, tidak ada satupun musibah yang terjadi di muka bumi ini, kecuali atas Kehendak dan Izin Allah SWT. Akan tetapi, seorang mukmin juga wajib mengimani adanya musibah-musibah yang disebabkan karena kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia.
Sesungguhnya, musibah maupun ‘azab yang ditimpakan Allah SWT kepada manusia ditujukan agar mereka kembali mentauhidkan Allah SWT, dan menjalankan seluruh syariatNya dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat. Sayangnya, banyak orang memandang musibah sebagai peristiwa dan fenomena alam biasa, bukan sebagai peringatan dan pelajaran dari Allah SWT. Akibatnya, mereka tetap tidak mau bertaubat dan memperbaiki diri. Mereka tetap melakukan kemaksiatan dan mengolok-olokkan syariat Allah SWT. Mereka lebih percaya kepada kekuatan ilmu dan teknologi buatan manusia untuk menghalang bencana dan musibah, dari pada Kekuatan dan Kekuasaan Allah SWT. Adanya musibah tidak menjadikan mereka rendah diri dan bersandar kepada Allah, namun menyeret mereka untuk semakin ingkar kepada Allah SWT.
Benar, salah satu bentuk perlindungan diri adalah berusaha semaksima mungkin untuk menghalang bencana dan musibah dengan berbagai sistem dan teknologi; misalnya; merancang master planning yang komprehensif, membangun sistem perumahan yang baik, mendirikan tembok dan lain sebagainya. Namun, perlindungan harusnya tidak hanya berhenti pada aspek-aspek fizikal seperti ini saja, akan tetapi harus mencakupi pula perlindungan spritual yang mampu membawa kepada ketaqwaan yang hakiki; iaitu mentauhidkan Allah SWT dan menjalankan seluruh syariatNya. Sebab, penyebab utama datangnya ‘azab adalah kemaksiatan, bukan semata-mata kerana lemah ataupun kurangnya sarana dan prasarana fizikal.
Wallahu a'lam
Tugas-Tugas Syaitan Di Atas Muka Bumi
Syaitan dan iblis mempunyai empayar kerajaan yang besar, malah ada pihak mendakwa nisbah seorang manusia 99 jin, manakala satu jin 99 malaikat, menunjukkan banyaknya makhluk terbabit yang mempunyai tugas masing-masing.
Antara tugas syaitan ialah:
1. Menghasut manusia untuk melakukan kejahatan. Sebab itu Allah mengingati manusia supaya berwaspada dengan hasutan terbabit.
"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara yang keji, dan menyuruh kamu berkata dusta terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui." (al-Baqarah:168-169)
2. Menakut-nakutkan manusia. Syaitan juga bekerja menakutkan dan membimbangkan manusia, terutama berdepan persoalan rezeki, dengan hidup miskin dan susah.
"Syaitan itu menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedangkan Allah menjanjikan kamu keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui." (al-Baqarah:268)
3. Menyesatkan manusia. "Tidakkah engkau melihat orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya." (an-Nisa':60)
4. Menimbulkan permusuhan sesama manusia. Cara syaitan ialah menimbulkan syak wasangka, hasad dengki dan kebencian. "Sesungguhnya syaitan itu berkehendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan arak dan judi..." (al-Maidah:91)
5. Melalaikan dan menghalang manusia daripada mengingati Allah. "...dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?" (al-Maidah: 91)
6. Mencari calon penghuni neraka. "Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagimu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya dia hanya menyeru golongannya supaya menjadi penduduk Neraka." (Fathir:6)
7. Berusaha merayu manusia supaya mencintai dan memujanya. "Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagimu!" (Yasin: 60)
8. Disebabkan tidak senang dengan ketenangan manusia, syaitan mengada-adakan pelbagai onar, termasuk membisikkan sesuatu ke telinga dan hati manusia.
"Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Dari kalangan jin dan manusia." (an-Nas: 4-6)
Monday, December 8, 2008
Video Dan Lirik Rela Ku Rempit Ustaz Akil Hayy Rawa
Lirik Lagu Rempit Sungguh Menarik Dari Ustaz Akil Hayy Rawa
Relaku rempit
Ku dikejar polis2
Bila motorku hampir kat selekoh
Enggan dilokap
Enggan disuruh ketuk ketampi sampai subuh
Aku bukan mat rempit yang tewas
Bisa ditangkap walau terbabas
biar dikepung kanan dan kiri
ku tetap akan dapat lari
tiada polis yang dpt potong
Hebatnya kapcaiku
gila punya laju
Biar kereta polis menghimpit
Ku dpt menyelit
Relaku rempit
Jgnlah kau salahkan aku
Terus merempit
Menggadai nyawaku
Aku berlumba ini hobi saja
mcm kumpul setem juga
Usahlah polis hampir
Di hadapanku lori hadir
melanggar hingga aku jatuh dari motorku
Apakah kali ini bisa ku bangkit dan berlari setelah kaki patah lapan
matilah aku
Jangan Merempit Berbahaya Untuk Kesihatan.HEHE
Video Dan Lirik Pantun Aurat Ustaz Akil Hayy Rawa
Ustaz Akil Hay Berpantun Tentang Aurat...Mari Kita Tengok Lirik Pantun Aurat
Pakai mini sekerat,
Suka pakai baju ketat,
Suka pulak menunjukkan pusat
Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat
Pakai pulak yang sendat-sendat
Kdg2 sampai Nampak yang tersirat
Tak kira bujur,tak kira bulat
Bila dah mcm tu,sape lihat pasti tercegat
Bila dah tercegat,silap
Bohsia bohjan lagi dahsyat
Duduk jauh berkirim
Bila berjumpa tangan berjabat
Kemudian pakat lawan peluk erat2
Masa tu nafas naik tersekat-sekat
Usah dipedulilah agama dan adat
Usah ditakuti allah dan malaikat
Yg pntg apa yg kita nak buat,kita buat
Akhirnya,bila dah buat,perut kempis jadi bulat
Maka,tunggulah lahirnya anak tak cukup sifat
Maka jam tu kita tgk, bayi dibuang merata tempat
Makanya ketika itu iblis mula melompat
Iblis kata apa?
habis manusia dah masuk jerat
Habis manusia telah tersesat
Inilah dia fenomena masyarakat
Oleh itu
Wahai saudara saudari dan para sahabat
Marilah kita pakat mengingat
Bahawa dunia hari ini makin sinbgkat
Esok atau lusa kita mungkin akan menghadapi
Hari kiamat
Sampailah masa kita semua akan berangkat
Berangkat menuju ke nagara akhirat
Di
Masa itu sendiri mau ingat
Umurmu byk mana mu buat ibadat
Zmn mudamu apa telah mubuat
Harta benda anta,anta dapat dr mana
Ilmu anda adakan anda manafaat
Semoga ia dpt mengingatkan kita spy meninggalkan maksiat
Dan memperbanyakkan ibadat
Dan bykkan bertaubat
Semoga Ia Bermanfaat.....
Penulisan Ilmiah Tentang Yoga
YOGA, satu istilah yang sinonim dengan gaya senaman tersendiri mutakhir ini. Jika dulu ia terbatas kepada kaum tertentu, kini pelbagai pihak cuba mengamalkannya kerana dikatakan mendapat ketenangan melalui senaman itu.
Faktor kesihatan dan ketenangan yang diperoleh melalui senaman yoga menyebabkan masyarakat berbilang agama termasuk umat Islam tertarik dan melakukan aktiviti terbabit. Tetapi apa sebenarnya yoga?
Ia juga membawa maksud senaman pelbagai cara untuk menenangkan fikiran, seperti bertafakur, terutama satu siri senaman gerak badan yang bertujuan mewujudkan keadaan badan dan fikiran yang sihat.
Menurut sebuah ensiklopedia, yoga merujuk kepada disiplin tradisional berkaitan fizikal dan mental yang berasal dari India; matlamat yang dicapai melalui disiplin ini; dan satu dari enam fahaman ortodoks (astika) dalam falsafah Hindu.
Istilah yoga dalam bahasa Sanskrit, berasal dari kata yuj, memberikan banyak makna seperti mengawal, menggalas dan menyatukan. Terjemahannya termasuk bergabung, bersatu, kesatuan, penghubung, jalan atau cara.
Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa, berkata Yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa kerana percaya yoga boleh menyatukan mereka dengan tuhan.
Yoga dikatakan mempunyai beberapa cabang, antaranya Raja Yoga, Karma Yoga, Jnana Yoga, Bhakti Yoga dan Hatha Yoga.
Raja Yoga disusun dalam Sutra Yoga Patanjali dan dikenali sebagai yoga dalam konteks falsafah Hindu adalah sebahagian tradisi Samkhya.
Banyak teks Hindu membincangkan aspek yoga, termasuk Veda, Upanishad, Bhagavad Gita, Hatha Yoga Pradipika, Shiva Samhita dan pelbagai Tantra.
Di luar India, istilah yoga sering disamakan dengan Hatha Yoga dan gaya posisi tubuh (asana) atau suatu bentuk senaman. Seorang pengamal Yoga dipanggil Yogi (uniseks) atau Yogini (perempuan).
Senaman yoga yang diperkenalkan sekitar 3,300 Sebelum Masihi dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.
Bagaimanapun, kebanyakan pergerakannya berdasarkan unsur dalam agama Hindu, dikhuatiri boleh memesongkan akidah bagi mereka beragama Islam yang mengamalkannya.
“Mengapa kita perlu mencari alternatif lain untuk bersenam dan ketenangan? Jika silap cara, yoga boleh memesongkan akidah kerana pergerakannya mengikut gaya dan tradisi agama Hindu,” kata Zakaria.
Ketika kebanyakan amalan mistik kuno secara samar-samar diisyaratkan dalam Veda, amalan pertapaan dirujuk dalam Brahmaas.
Rig Veda, teks Hindu paling awal menyatakan amalan terbabit. Pengawalan minda dan pernafasan dipercayai diamal sejak zaman Vedic (zaman Vedic ialah zaman dalam sejarah India sepanjang Veda, teks Hindu yang paling lama digubah).
Penulis popular mengenai yoga, Georg Feuerstein mempercayai yoga menjadi asas kepada upacara Vedic, khususnya untuk ratib zikir suci.
Dalam Upanishad, rujukan yang awal terhadap meditasi dibuat dalam Brihadaranyaka Upanishad, satu daripada Upanishad yang terawal.
Sumber naskhah utama bagi mengembangkan konsep yoga adalah pertengahan Upanishad, Mahabharata, termasuk Bhagavad Gita dan Sutra Yoga Patanjali.
Beberapa pengesahan ditemui di kawasan Peradaban Lembah Indus memaparkan gambaran dalam yoga atau meditasi seperti gaya posisi tubuh, ‘satu bentuk disiplin ritual, yang mencadangkan yoga’ iaitu titik kepada pemujaan Harappan kepada ‘disiplin ritual dan konsentrasi’, menurut ahli arkeologi Gregory Possehl.
Bhagavad Gita (Nyanyian Tuhan), menggunakan terma yoga dengan meluas dalam pelbagai cara. Sebagai sesuatu yang ditambah kepada seluruh bab (ch 6) mendedikasikan kepada amalan yoga tradisional, termasuk meditasi, ia memperkenalkan tiga jenis yoga yang menonjol, iaitu Karma yoga (yoga tindakan/aksi), Bhakti yoga (yoga pemujaan) dan Jnana yoga (yoga pengetahuan).
Madhusudana Sarasvati, seorang ahli falsafah India dalam tradisi Advaita Vedanta (aliran falsafah Hindu) membahagikan Gita kepada tiga seksyen, dengan enam bab pertama berkaitan Karma yoga, enam pertengahannya dengan Bhakti yoga dan enam yang terakhir dengan Jnana.
Pengkritik lain menyifatkan yoga yang berbeza pada setiap bab, dengan menggariskan lapan belas yoga berbeza. Hatha Yoga adalah sistem yoga khusus digambarkan oleh Yogi Swatmarama, penyusun Hatha Yoga Pradipika pada kurun ke-15 India.
Hatha Yoga berbeza dari yoga Raja Patanjali kerana ia memfokus terhadap shatkarma (merujuk kepada amalan yoga membabitkan penyucian tubuh badan) penyucian fizikal badan sebagai peneraju kepada penyucian minda (ha) dan pernafasan (prana) atau tenaga yang penting (tha).
Dibandingkan dengan gaya posisi tubuh yang duduk atau berdiri, yoga Raja Patanjali, ia menandakan pembangunan gaya posisi tubuh sebagai gaya sepenuh badan yang kini menjadi popular.
Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, ketika mengkritik persoalan ini membabitkan umat Islam, berkata senaman yoga perlu diharamkan kerana bercanggah dengan akidah, syariat serta akhlak Islam dan wajib ditinggalkan individu yang sudah mengamalkannya.
Bahkan menurutnya, mereka yang terbabit dengan aktiviti itu perlu segera bertaubat kepada Allah kerana sudah melakukan perkara yang salah di sisi Islam.
“Bukan saja pengamal yoga, malah pengusaha pusat kecergasan yang beragama Islam juga perlu menghentikan perkhidmatan senaman ini kerana ia bercanggah dengan Islam dan boleh memesongkan akidah.
“Keputusan mengharamkan senaman ini juga tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia bertujuan menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam,” katanya.
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) ada mengeluarkan fatwa mengenai yoga, dengan mengklasifikasikannya sebagai perkara bidaah yang menyesatkan. “Yoga adalah antara perkara bidaah yang digolongkan ke dalam bidaah dhalalah. la mengandungi unsur agama Hindu.
Segala perkara yang mengandungi unsur syirik dan boleh merosakkan kepercayaan (iktikad) seperti yang menganjurkan kepada persemadian kepada yang bukan mengingati Allah adalah dilarang dan hukumnya haram.”
Hukum Berhutang Untuk Pergi Haji
HAJI satu ibadat penting dalam Islam. Ulama secara ijmak mengatakan ia adalah fardu ke atas setiap orang Islam yang berupaya mengerjakannya dan satu daripada rukun Islam yang lima.
Ayat 97 Surah Ali Imran antara lain bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk."
Kewajipan melaksanakan haji itu hanya sekali seumur hidup sebagaimana dijelaskan Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a bermaksud: "Rasulullah s.a.w pernah berkhutbah kepada kami. Sabdanya: Wahai manusia, sesungguhnya Allah sudah mewajibkan haji ke atas kamu, oleh itu kerjakanlah haji itu."
Seorang lelaki bertanya: Adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah? Rasulullah s.aw diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang pertanyaannya sebanyak tiga kali. Selepas itu barulah Rasulullah s.a.w menjawab: Jika aku jawab ya, nescaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berupaya melakukannya."
Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Biarkanlah aku (jangan kamu tanya) mengenai apa yang aku tinggalkan (yang tidak aku sebutkan) kepada kamu. Sesungguhnya sudah binasa orang sebelum kamu dengan sebab banyaknya pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi mereka. Maka aku menyuruh kamu dari (mengerjakan) sesuatu, kamu tinggalkan ia." (Hadis riwayat Muslim)
Dalam melaksanakan kefarduan haji dan umrah, ada beberapa syarat yang mewajibkannya, antaranya berkuasa.
Berkuasa melaksanakan haji dan umrah boleh dilihat pada dua aspek, iaitu berkuasa melaksanakannya dengan sendiri dan berkuasa menunaikan dengan pertolongan orang lain.
Setiap aspek itu ada syarat tertentu, contohnya berkuasa melaksanakan haji oleh dirinya sendiri antara syaratnya, ada perbelanjaan yang cukup untuk dirinya dalam perjalanan pergi dan balik serta sepanjang melaksanakan haji serta untuk sara hidup orang yang wajib ditanggungnya serta perbelanjaannya itu melebihi hutangnya.
Di samping itu, ada kenderaan untuk menyampaikannya ke Makkah seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya sama ada milik sendiri atau mampu menyewanya.
Syarat bekalan dan kenderaan itu ada disebut dalam hadis diriwayat Ibnu Umar dengan katanya: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w, dia berkata: Wahai Rasulullah apakah yang mewajibkan haji itu? Maka sabda baginda: Bekalan dan kenderaan."
Bagaimanapun, kewajipan menunaikan haji tidak akan gugur bagi orang yang terlalu tua, orang menghidap penyakit yang tidak ada harapan sembuh dan penyakit teruk, seperti dinyatakan Datuk Md Daud Che Ngah dalam buku Kursus Kesempurnaan Ibadat Haji & Umrah.
Bagaimanapun, dalam kes berkaitan hutang, apa pula justifikasinya? Apakah orang yang berhutang wajib atau tidak mengerjakan haji?
Presiden Majlis Fekah Amerika Utara, Dr Muzammil Siddiqi, berkata haji tidak menjadi kefarduan terhadap seseorang yang berhutang.
"Bagaimanapun, jika seseorang itu mempunyai pinjaman jangka panjang dan beliau dikehendaki membayar hanya jumlah tertentu setiap bulan, hutangnya itu tertakluk melalui bayaran setiap bulan.
"Sekiranya beliau membayar semua hutangnya dan kemudian tiada baki padanya untuk melaksanakan haji, ibadat haji tidak diwajibkan ke atasnya.
"Tetapi jika beliau hanya membayar secara ansuran bulanan dan kemudian mempunyai wang secukupnya untuk melaksanakan haji, dia sepatutnya mengerjakan haji kerana ia menjadi kewajipan ke atasnya.
"Jika seseorang itu berhutang dan pemberi hutang membenarkannya untuk pergi haji, dia boleh melaksanakan haji," katanya.
Bertitik-tolak dari situ juga timbul kekeliruan mengenai pelaksanaan ibadat haji dengan kaedah pinjaman (hutang), yang dibayar kemudian seperti dengan cara ansuran, ditambah dengan keadaan mutakhir ini, ketika orang ramai mudah mendapatkan pembiayaan atau pinjaman.
Ini kerana ada pihak mengatakan cara itu dibolehkan manakala setengah yang lain pula berdasarkan hujah masing-masing mendakwa kaedah seperti itu tidak dibenarkan.
Dr Muzammil berkata, jika seseorang mengambil pinjaman (tanpa faedah) untuk melaksanakan haji dan dia melaksanakan haji, ibadat hajinya itu sah, walaupun tidak dikehendaki berbuat demikian dan haji tidak menjadi kewajipan ke atasnya.
Ulama kontemporari lain menyatakan, adalah dibenarkan untuk melaksanakan haji dengan cara pinjaman yang dibayar ansuran jika seseorang itu tidak mampu mengadakan belanja sekali gus.
Mufti Mesir, Dr Ali Jum'ah, berkata: "Adalah sah bagi seseorang untuk melaksanakan ibadat haji atau umrah dengan cara ansuran; ia tidak melanggar mana-mana upacara atau syarat berkaitan haji atau umrah.
Rektor Universiti Al-Azhar, Dr Ahmad At-Tayyeb berkata: "Secara umum, tidak sah menegah untuk membayar bagi sesuatu secara ansuran, selagi ia tidak membabitkan bayaran faedah.
"Dengan itu, tiada kesalahan jika institusi kewangan membayar perbelanjaan haji bagi pihak ahlinya sebagai pinjaman tanpa faedah dalam keadaan itu dan ahlinya akan membuat bayaran balik secara ansuran."
Seorang ulama, Dr Abdel-Fattah Idrees, yang juga Profesor Undang-undang Perbandingan di Universiti Al-Azhar menyatakan:
"Melaksanakan haji dengan bayaran ansuran, atau dalam perkataan lain melalui institusi kewangan (yang memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk melaksanakan tanggungjawab agama) adalah dibenarkan kerana tiada nas yang melarang daripada melaksanakan ibadat haji seperti itu.
Tambahan lagi, jemaah haji dalam kes terbabit akan membayar balik wang yang dipinjam (dihutang). Pandangan ini mengikut aliran perundangan, seperti Syafie dan Zhahiri, yang mengatakan mana-mana cara yang menurut hukum membenarkan seseorang untuk melaksanakan haji adalah dipertimbangkan dalam perkara terbabit walaupun jika ia melalui pinjaman wang.
Dengan itu, melaksanakan ibadat haji dengan cara ansuran adalah dibenarkan dan mendapat ganjaran sebagai ibadat haji apabila semuanya dijelaskan."
Berdasarkan huraian ulama terbabit, secara ringkas dan umum dapat difahami ibadat haji dengan cara pinjaman tanpa faedah dibenarkan dan sah.
Fatwa Jabatan Mufti Kerajaan Brunei juga ada menghuraikan perkara ini, cuma ia cenderung memperkatakan mengenai permasalahan hutang dan kedudukan seseorang individu yang tiada kemampuan kewangan untuk mengerjakan haji.
Antara lain ia menjelaskan: "Dalam Islam berhutang dibolehkan, tetapi tidak dibolehkan kerana mengambil risiko yang boleh menyusahkan di dunia dan akhirat.
Banyak hadis yang memperkatakan masalah hutang dan orang yang berhutang, antaranya, bermaksud: "Dan jauhilah diri kamu daripada hutang, kerana sesungguhnya awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula adalah mengambil harta orang dengan tiada mengembalikannya." (Hadis riwayat Imam Malik)
Pada zaman Nabi s.a.w ada yang bertanya kepada baginda mengenai orang tidak berupaya mengerjakan haji. Adakah dia perlu berhutang kepada orang lain supaya dapat pergi haji, akan tetapi Nabi s.a.w tidak membenarkannya.
Perkara ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Auf, katanya: "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w berkenaan dengan seorang lelaki yang tidak (dapat) pergi haji: "Adakah dia boleh berhutang untuk pergi haji? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak. (Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Agama Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Dalam hal mengerjakan haji dan umrah, ulama membuat syarat tertentu yang kemas berdasarkan al-Quran, hadis dan ijmak.
Jika syarat itu tidak dapat dipenuhi seseorang, tidaklah wajib baginya mengerjakan haji, walaupun ia satu daripada rukun Islam.
Ini membuktikan Islam itu adalah rahmat dan tidak menyusahkan umatnya. Oleh yang demikian, bagi orang yang ingin mengerjakan fardu haji dan umrah yang wajib ke atasnya, tidaklah perlu dia sampai menyusahkan dirinya dengan berhutang.
Apatah lagi bagi orang yang pernah pergi mengerjakan haji dan umrah. Lebih-lebih lagi jika umrah yang dilakukan itu, hanya berbentuk sunat semata-mata, jadi berhutang bagi tujuan ini suatu perkara yang tidak dituntut agama kerana ia akan menjadi beban dan akan menyusahkannya."
Asal Hajarul Aswad Itu Putih
SETIAP tahun, apabila tiba musim haji, lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia bertamu di kota suci Makkatul Mukarramah, menyahut seruan Ilahi bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima itu.
Dalam ibadat itu, jemaah melakukan pelbagai ritual ibadat mengikut tertib, seperti tawaf, sai dan bercukur, dengan kemuncaknya melakukan wukuf di padang Arafah, yang jatuh pada 9 Zulhijjah.
Baitullah disebut juga Kaabah, yang terletak di tengah kota suci itu. Ia menjadi tumpuan utama pada musim haji, khususnya dalam pelaksanaan tawaf, dengan setiap jemaah mengelilinginya sebanyak tujuh kali.
Rumah Allah itu adalah kiblat kepada umat Islam seluruh dunia ketika menunaikan ibadat solat seharian dan Masjidil Haram yang menaungi kawasan itu menjadi masjid paling mulia dalam Islam.
Baitullah yang penuh berkat dan mulia itu dikenali juga dengan nama lain seperti al-Bait, al-Bait al-Haram, al-Bait al-Atiq dan Qiblat.
“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Ali-Imran: 96)
Ulama berbeza dalam mentafsirkan ayat berkenaan. Sesetengahnya mengatakan makna bait itu ialah Kaabah, sesetengahnya pula mengatakan bait itu ialah Masjidil Haram dengan dalil hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bermaksud:
“Daripada Abi Zar berkata: Aku bertanya Rasulullah s.a.w mengenai masjid yang paling awal dibina di bumi, sabdanya Masjidil Haram. Aku berkata, kemudian masjid mana? Sabdanya, Masjidil Aqsa. Aku bertanya berapa lama antara keduanya didirikan? Sabdanya, empat puluh tahun.”
Menurut cerita Ibn Zahirah al-Qarsyi, Kaabah dibina beberapa kali, iaitu oleh malaikat, Nabi Adam a.s, Nabi Ibrahim a.s, orang Quraisy, Ibn Zubair dan Hajjaj Yusuf as-Thaqafi.
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama Nabi Ismail meninggikan binaan asas Baitullah itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah:127)
Selain melakukan tawaf di rumah Allah itu, satu fenomena cukup ketara diperhatikan ketika musim haji, malah pada waktu lain ketika mengerjakan umrah, ialah tindakan sesetengah tetamu yang mengucup Batu Hitam atau lebih dikenali Hajarul Aswad.
Amalan itu didakwa sebagai mencontohi kucupan diterima daripada Nabi Muhammad s.a.w. Ulama menyatakan perbuatan istilam (melambai tangan) terhadapnya ketika memulakan tawaf atau mengucup Hajarul Aswad (sekiranya dapat) termasuk perkara sunat mengerjakan haji dan umrah.
Signifikan tindakan itu, sebagaimana digambarkan Saidina Umar al-Khattab, Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua: “Saya tahu anda adalah sebuah batu yang tidak mendatangkan bahaya dan faedah. Jika tidak aku melihat Rasulullah s.a.w mengucupmu, aku tidak akan mengucupmu.”
Nabi s.a.w menciumnya sebagaimana dilakukan nabi sebelumnya, sehingga Hajarul Aswad menjadi tempat bertemunya bibir kalangan nabi, orang soleh, jemaah haji dan mereka yang menunaikan umrah sepanjang sejarah.
Ia juga menjadi tempat permulaan dan akhir tawaf, sekali gus tempat mustajab dikabulkan doa.
Batu Hitam yang terletak di bahagian penjuru sebelah timur Kaabah adalah objek sangat disanjungi umat Islam. Secara kasar batu itu berukuran diameter 30 sentimeter dan 1.5 meter dari paras bawah.
Ia dikatakan pernah pecah kepada beberapa bahagian pada Zaman Pertengahan. Malah ada pihak mendakwa ia pecah menjadi berkeping-keping kepada lapan gugusan batu kecil.
Keadaan ini berlaku pada zaman Qaramithah, iaitu satu mazhab daripada Syiah Islamiyah al-Batiniyah daripada pengikut Abu Thahir al-Qarmathi yang mencabut Hajarul Aswad dan membawanya ke Ihsa' pada 319 Hijrah, tetapi kemudian dikembalikan lagi pada 339 Hijrah.
Gugusan terbesar dikatakan sebesar buah kurma dan tertanam di batu besar yang lain dikelilingi oleh ikatan perak dan diperkuatkan lagi dengan paku perak. Batu itulah yang dianjurkan untuk dikucup, bukannya batu di sekitarnya dan yang meliputi perak.
Antara keutamaan Hajarul Aswad kerana ia berasal daripada batu yang mulia (yaqut) dari syurga yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s agar diletakkan di satu sudut Kaabah.
Bahkan menurut tradisi Islam, batu itu berasal dari syurga pada zaman Nabi Adam a.s dan Hawa lagi, dalam keadaan putih berkilau dan bebas daripada unsur kejahatan, tetapi ia menjadi hitam kerana dosa yang diserap tahun ke tahun.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Hajarul Aswad itu diturunkan dari syurga, warna lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.”
Dikatakan juga Nabi Ibrahim a.s yang menemui Batu Hitam dan apabila baginda membina semula Kaabah, Malaikat Jibril a.s membawa batu itu keluar dan memberikan kepada baginda.
Menurut cerita, apabila Nabi Ibrahim siap membina Kaabah, dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s, Allah memerintahkan baginda melakukan tawaf.
Baginda tidak dapat menetapkan bilangan yang tepat pusingan dilakukannya. Baginda berasa mereka yang lain juga akan keliru.
Justeru, baginda berdoa kepada Allah untuk memberikannya suatu tanda untuk digunakan bagi mengira pusingan. Malaikat Jibril membawakan batu hitam terbabit kepadanya.
Bahkan, Nabi Muhammad s.a.w turut memainkan peranan dalam sejarah Hajarul Aswad. Ini kerana pada waktu pembinaan semula struktur Kaabah, Hajarul Aswad dipindahkan sementara dan bagindalah yang meletakkan semula batu terbabit di tempat asalnya.
Satu cerita yang ditemui dalam Sirah Rasulullah Ibn Ishaq menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w menyelesaikan satu pertelingkahan di antara suku Makkah, yang masing-masing berhak untuk meletakkan Hajarul Aswad di tempat asalnya.
Jalan penyelesaiannya ialah dengan memanggil semua pemimpin suku terbabit untuk mengangkat penjuru batu dengan satu kain dan kemudian Nabi Muhammad s.a.w meletakkan batu itu pada tempatnya dengan tangannya sendiri.
Umat Islam dari satu generasi ke generasi apabila mula tawaf dan selesai setiap pusingan, mengucup Hajarul Aswad, menyentuhnya dengan satu tangan atau sekadar memberikan isyarat kepadanya dari jauh.
Apakah Boleh Melihat Allah swt Di Syurga?
Melihat Allah di syurga
SOALAN: Saya mendapat tahu banyak juga, ajaran agama yang mungkin tidak selaras dengan lojik akal kebanyakan manusia. Sebab itu terdapat golongan yang cuba menolak beberapa perkara seperti azab kubur, melihat Allah SWT dalam syurga. Mereka yang menafikan perkara ini seperti kumpulan ahli bidaah dan muktazilah. Bagaimana pendirian kita ahli sunnah dalam perkara ini?
- Muhammad Haikal Hussin, Merbuk, Kedah.
JAWAPAN: Dalam menghadapi perkara tersebut, kita sepatutnya bersikap terbuka dan akur dengan apa yang sah dan thabit dari khabar al-Quran dan hadis yang datang daripada Rasulullah SAW. Selaras dengan pendirian umat Islam seluruhnya, dan tidak harus menolak atau mengingkari perkara tersebut kerana semata-mata berlainan dari apa yang biasa berlaku mengikut fikiran kita sahaja dan boleh dianggap mustahil pada adat seperti azab kubur dan melihat Allah dalam syurga di akhirat nanti. Demikian juga hadis mengenai lalat yang masuk ke dalam air yang disunatkan kita supaya menekan lalat itu agar tenggelam untuk megimbangi racun dan penawarnya.
Manusia hari ini mampu mencipta berbagai-bagai peralatan yang sangat canggih dan boleh dikira mustahil pada masa dulu. Kalau diberitahu kepada mereka (datuk nenek kita) pada masa itu, mereka akan menuduh kita sebagai orang gila dan sebagainya. Justeru itulah ulama menggariskan, bahawa agama ini barangkali menceritakan perkara yang pelik dan tidak mampu difikir oleh akal, tetapi ianya sekali-kali tidak mungkin dikira perkara yang mustahil pada akal, kerana tidak ada pertentangan antara apa yang sahih dari al-Quran dan hadis Rasulullah saw dan antara kenyataan lojik akal manusia. Apabila terdapat sangkaan pertentangan seperti itu, maka tentulah ada kesilapan di mana-mana, sama ada nukilan cerita itu, tak berapa tepat, atau terdapat kecacatan lojik itu sendiri di mana-mana, atau apa yang diterima sebagai agama itu bukan agama sebenarnya, atau apa yang dikira lojik dari kajian sains itu, bukan kajian ilmiah, malah ia cuma andaian rambang.
Lantaran inilah ramai yang tersilap langkah dan menyeleweng dari garis kebenaran. Kerana sikap ekstrem mereka, seperti muktazilah dan lainnya menolak hadis sahih dari Bukhari Muslim dan sebagainya kerana semata-mata cerita atau perkara itu, dikira pelik dan jauh pada pandangan akal mereka. Ini dapat kita saksikan penafian mereka terhadap soal mungkar nakir dan azab kubur. Begitu juga pendirian mereka mengenai hadis timbangan amal dan titian sirat dan sebagainya. Demikian juga mengenai hadis jin dan hubungannya dengan manusia. Sehingga ada sekumpulan lain menafikan hadis ahad dan menerima apa yang selaras dengan pendapat dan fikiran mereka sahaja.
Sebagai contoh ramai kalangan pembela satu gerakan pembaharuan pada hari ini, mempersoalkan hadis sahih yang bermaksud "Dalam syurga nanti terdapat pokok-kayu yang mana orang berkenderaan di bawah bayangan teduhnya tak dapat melalui (melepasi) bayangannya selama perjalanan 100 tahun (Riwayat Syaikhan dari Sahl bin Sa'ad dan Abi Sa'id juga Abu Hurairah).
Sesuai dengan huraian hadis ini Ibni Kathir ra. menyatakan dalam tafsirnya mengenai firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bayangan yang memanjang (Surah al Waqi'ah ayat 30). Maksud ayat ini telah jelas (thabit) daripada Rasulullah SAW malah riwayatnya adalah mutawatir dan disepakati sahihnya di sisi para ulama. Asas utama yang memisahkan kita dengan mereka itu (kumpulan sesat tadi) ialah kesilapan mereka yang terperangkap dalam satu kaedah yang salah iaitu qias yang ghaib dengan yang syahid atau qias dunia dengan akhirat, atau qias yang qadim dengan yang baru. Ini semua asas dan garis pemisah antara kumpulan benar dan kumpulan salah tadi.
Oleh itu berhati-hatilah dalam sesuatu perkara mengenai agama sebab ahli Sunnah Waljamaah telah bersepakat mengatakan harus melihat Allah dalam syurga nanti dan hakikat ini telah thabit dengan al-Quran sendiri melalui firman-Nya bermaksud: "Wajah-wajah (orang mukmin) pada hari itu akan berseri-seri kerana melihat dan memandang Tuhannya" (Surah al-Qiamah ayat 23).
Tetapi bukan sebagaimana melihat kita pada hari ini dengan mata, tetapi dikatakan melihat itu dengan muka sekaliannya kepada Tuhannya yang tidak berkaifiat dan laisa kamislihi syai (Tiada suatu yang menyerupai-Nya). Wallahualam.
Sunday, December 7, 2008
Kefahaman Tentang Qada' Dan Qadar,Adakah Sekadar Tidur?
Qada dan qadar adalah salah satu dari rukun iman yang wajib dipercayai dan diimani oleh setiap orang Islam. Penjelasan mengenai qada dan qadar ini ada dibicarakan di dalam kitab-kitab aqidah dan perbincangannya agak panjang dan adakalanya begitu susah untuk difahami oleh kebanyakkan orang terutamanya bagi sesiapa yang baru menjejakkan kaki dalam perbincangan ilmu aqidah secara mendalam.
Sememangnya perkara aqidah ini memerlukan penjelasan yang sejelas-jelasnya. Para ulama mengatakan bahawa adalah tidak harus sama sekali untuk bertaklid di dalam persoalan aqidah. Saya berharap dengan tulisan ringkas ini akan memberikan kefahaman yang sempurna kepada semua pembaca pada persoalan qada dan qadar ini. InsyaAllah.
ERTI DAN BAHAGIAN QADA DAN QADAR
Qada bermaksud pelaksanaan. Adapun qadar bermaksud sukatan.
Terbahagi kepada dua bahagian iaitu: Qada Mubram dan Qada Muallaq.
Qada Mubram: Adalah ketentuan Allah Taala yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu apa pun. (Contoh: Mati pasti akan berlaku).
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib.
(Surah al-Anaam: ayat 59).
Qada Muallaq: Adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. (Contoh: Panjang umur bergantung kepada menghubungkan silaturrahim dan amal kebajikan yang lain).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibubapa.
(Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tarmizi).
SEMUA PERKARA DI DALAM PENGETAHUAN ALLAH TAALA
Kedua-dua jenis qada di atas ini adalah di dalam pengetahuan Allah Taala.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib.
(Surah al-Anaam: ayat 59).
Segala perbuatan hamba adalah diketahui oleh Allah Taala melalui ilmu-ilmuNya. Hanya ianya terlindung dan tidak diketahui oleh hamba-hambaNya yang lemah. Kerana itulah kita disuruh untuk sentiasa berusaha dan taat kepadaNya kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti.
ANTARA BENTUK KETAATAN
Antara bentuk ketaatan adalah dengan berdoa kepada Allah Taala. Dengan berdoalah seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat atau memerlukan kepada Allah Taala.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqarah: ayat 186).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Doa merupakan otak kepada ibadat. (Riwayat at-Tarmizi).
SENTIASA BERUSAHA DAN BERDOA
Setelah diketahui bahawa segala usaha dan doa dari hamba akan didengar dan diambil kira oleh Allah Taala maka dengan sebab itulah perlunya seseoarang hamba itu untuk sentiasa berusaha dan berdoa. Namun segala usaha dan doa ini sudah tentulah di dalam kuasa dan ilmu Allah Taala. Kerana itulah ada dinyatakan bahawa manusia hanya berusaha dan berdoa tetapi Allah Taala jualah yang menentukannya. Disebabkan manusia tidak mengetahui qada dan qadarnyalah maka manusia perlu kepada usaha dan doa.
Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah ar-Rad: ayat 11).
KONSEP QADA DAN QADAR
Keperluan kepada konsep qada dan qadar di dalam Islam adalah:
- Menisbahkan kepada Allah Taala di atas segala yang berlaku di dunia ini.
- Beriman bahawa hanya Allah Taala yang memiliki kuasa mutlak menentukan urusan di dunia ini.
- Menyedarkan bahawa manusia itu lemah dan perlu kepada bantuan Allah Taala.
- Hikmah qada dan qadar disembunyikan dari pengetahuan hamba adalah supaya seseorang hamba itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya.
PERINGATAN
Peringatan daripada dalil hadis di bawah ini dapat mengingatkan kepada kita tentang bahayanya mempersoalkan dan memanjang-manjangkan perbincangan mengenai qada dan qadar ini tanpa sebab tertentu. Sebab itulah kebanyakkan para tok guru kita cuba mengelakkan diri dari berbicara mengenai qada dan qadar ini secara panjang lebar terutamanya kepada masyarakat awam.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Apabila disebut tentang qadar maka diamlah…
(Riwayat Tabrani dan Abu Nuaim).
PENUTUP
Sebagai umat Islam yang beriman adalah kita diwajibkan mempercayai dan mengimani qada dan qadar. Segala yang berlaku adalah dari Allah Taala semuanya. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa akan tetapi Allah Taala jualah yang Maha Berkuasa yang menuntukan segala sesuatu itu. Saya ingin sarankan agar kita semua dapat mempelajari ilmu aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah dengan lebih mendalam dan terperinci.
Saturday, December 6, 2008
Wukuf Di Arafah-Insafi Hari Kebangkitan
Perhimpunan terbesar umat manusia di Arafah ibarat hari kebangkitan semula untuk diadili
TIDAK ada amal ibadah dalam Islam yang sesemarak dan seramai wukuf di Arafah. Lebih tiga juta umat Islam seluruh pelosok dunia berhimpun pada satu masa, di satu tempat dengan satu tujuan, satu seragam dan satu amalan. Mereka akan memulakan rukun haji bersama selepas tergelincir matahari dengan solat Zuhur dan Asar jamak takdim, satu azan dan dua kali kamat sambil melantunkan doa kepada Allah SWT yang selesai sebelum terbenam matahari hari ini, 9 Zulhijjah 1429H bersamaan 7 Disember 2008.
Berasal daripada kata dasar 'wa-qa-fa' bererti diam, berdiri, wukuf di Arafah adalah satu daripada rukun haji paling utama kerana disebutkan dalam hadis al-hajju 'arafah yakni kesempurnaan haji berada dalam wukuf di Arafah.
Tanah seluas 10,4 kilometer persegi dan arah Tenggara Masjidil Haram dengan jarak 22 kilometer itu dinamakan Arafah kerana beberapa sebab. Dinamakan demikian kerana Adam dan Hawa bertemu dan saling mengenal kembali, ta'aruf, pertama di sana selepas diturunkan ke bumi.
Arafah disebut dalam al-Quran maksudnya: "Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang 'Arafah (menuju Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy'ar al-Haram (di Muzdalifah)." (Surah al-Baqarah: 198) Di padang Arafahlah turun ayat terakhir al-Quran yang maksudnya: "Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." (Surah al-Maidah: 3)
Arafah sebagai tempat wukuf ditetapkan oleh Baginda Rasulullah SAW dengan hadisnya bermaksud: "Aku wukuf di sini dan Arafah seluruhnya adalah tempat untuk melaksanakan wukuf." (Hadis riwayat Muslim)
Dengan berkumpulnya jutaan manusia di Arafah yang diiring dari semua penjuru dunia mengingatkan kepada kita kejadian pada kiamat iaitu hari dibangkitkan semua manusia daripada mati. Mereka dihimpunkan di padang Mahsyar untuk diadili Allah SWT.
Umat Islam mengimani hari kebangkitan daripada alam kubur selepas ditiup sangkakala kali ketiga. Allah membangkitkan mayat dalam kubur, maka bangkit semua manusia menghadap Tuhan seluruh alam tanpa alas kaki, telanjang dan tidak dikhitan (Hadis Bukhari dan Muslim); matahari dekat dengan mereka; antara mereka ada yang keringatnya bercucuran sampai ke mulut. Orang pertama dibangkitkan dari bumi ialah Nabi Muhammad SAW. (Hadis riwayat Ibnu Abi 'Ashim, Ibnu Hibban dan Abu Ya'la)
Pada hari besar itulah manusia keluar daripada kubur seperti belalang berterbangan datang dengan pantas kepada Penyeru itu. Semuanya terdiam tidak bergerak ketika ditebarkan catatan amal, maka terlihat semua yang tersembunyi, nampak segala yang tertutup dan terbuka keburukan yang tersimpan di dalam hati. Allah akan berbicara langsung dengan manusia pada hari itu; tidak ada penterjemah antara Allah dan mereka.
Dalam kitab rujukan akidah, Syarh al-'Aqidah al-Tahawiyyah disebutkan: "Kita beriman kepada kebangkitan, pembalasan amal perbuatan pada hari kiamat, pemeriksaan, hisab, pembacaan rekod amal, pahala, seksa, al-sirat, timbangan, syurga, neraka, yang kedua-duanya sudah dicipta yang tidak akan musnah selama-lamanya dan tidak akan hancur." (hal. 404-05)
Mengenai dihidupkan kembali manusia selepas mati di padang Mahsyar, Allah menjelaskan dalam al-Quran maksudnya: "(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar (dari kubur masing-masing) berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa." (Surah Ibrahim: 48) Mengapa manusia dikeluarkan dari kubur mereka? Allah menjelaskan maksudnya: "(Keluar manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang dia telah usahakan; sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisab-Nya." (Surah Ibrahim: 51)
Hari kebangkitan manusia di padang Mahsyar amat dahsyat digambarkan al-Quran dengan ayat bermaksud: "Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan. Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar); dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga setiap belahan menjadi ibarat pintu yang terbuka luas dan gunung-ganang � selepas dihancurkan - diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir." (Surah al-Naba: 17-20)
Pada masa itu manusia akan menuju tempatnya sama ada maksudnya: "Sesungguhnya neraka Jahannam disediakan untuk orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya. Mereka tinggal di dalam berkurun lamanya," (Surah al-Naba: 21-23).
Mahupun maksudnya: "Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman bunga dan kebun buah-buahan, terutama anggur dan perawan yang sebaya umurnya. Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman. Mereka tidak mendengar di dalam syurga perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta; sebagai balasan daripada Tuhanmu iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya." (Surah al-Naba: 31-36)
Jika jemaah haji yang berwukuf di padang Arafah pada hari ini dijanjikan untuk diampunkan dosa mereka oleh Allah SWT, bagaimana dengan kita yang belum memperoleh janji terbabit? Jika jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah pada saat ini bersungguh-sungguh dalam berdoa memohon keampunan Allah di tempat yang mulia, bagaimana kita yang tidak berada di sana?
Jika jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah melihat dan membayangkan Padang Mahsyar selagi mereka hidup, bagaimana dengan kita yang tidak mengalaminya?
Jangan risau mahupun gelisah, wahai saudara! Jangan bersedih dan gundah gulana wahai, sahabat! Disebut dalam hadis Qudsi maksudnya:
"Pada hari kiamat Allah berfirman: "Pada hari ini orang yang berkumpul (di Padang Mahsyar) akan mengetahui siapa yang termasuk dalam keluarga utama." Sahabat bertanya: "Siapakah ahli (keluarga utama itu, Ya Rasulullah?" Nabi SAW menjawab: "Mereka itu ialah keluarga majlis zikir di masjid." (Hadis riwayat Ahmad) Bersediakah anda?
Mencari Korban Yang Diterima Allah swt
Korban Yang Diterima Allah swt
ESOK umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Korban. Salah satu ibadah amaliah yang dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji ialah ibadah korban. Berkorban (dalam istilah fekah disebut udhiyah) adalah menyembelih binatang ternak pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Inilah peristiwa besar yang melambangkan sejarah agama tauhid, pengorbanan yang ikhlas kerana Allah dan usaha terus menerus untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad SAW.
Kita gembira melihat ramai kaum Muslim yang menyambut panggilan mulia ini, mengorbankan sebahagian harta atau haiwan ternak mereka. Kita tanamkan niat murni dan ikhlas ini kerana Allah SWT dan jangan sekali-kali ia dilakukan supaya lebih dihormati oleh masyarakat. Lebih dari itu berkorban itu biarlah benar-benar sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW.
Dalam satu riwayat dari Aisyah disebutkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidaklah keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada hari nahr yang lebih dicintai Allah selain mengalirkan darah (menyebelih haiwan korban). Haiwan sembelihan itu akan datang pada hari Kiamat membawa tanduknya, kukunya dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan sembelihan itu sampai kepada Allah lebih dulu daripada sampai ke tanah. Maka sucikanlah diri kamu dengannya (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi).
Al-Allamah Al-Manawi berkata, maksud hadis tersebut adalah bahawa ibadah yang paling utama pada hari itu adalah mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban) dan pada hari Kiamat kelak, korban itu akan datang sebagaimana adanya ia di dunia, tidak berkurang sedikit pun. Dan orang yang berkorban akan diberi pahala dari setiap anggota tubuh haiwan korbannya itu.
Baginda Rasulullah sendiri dalam sebuah hadis mengungkapkan, orang- orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Hakikatnya kita sebagai manusia sering bergelumang dalam dosa dan memiliki jarak antara dia dengan Allah. Manusia berkewajipan mendekatkan diri kepada-Nya. Salah satu caranya dengan berkorban. Kerana itu Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki, lalu tidak berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami (Hadis Ibnu Majah dengan sanad sahih).
Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:
"Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?" ujar sahabat.
"Itulah sunah daripada nenekmu Ibrahim," jawab Rasulullah.
"Apakah keuntungan korban itu untuk kita?" tanya sahabat lagi.
"Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah)," jawab Rasulullah.
Penyembelihan
Seandainya ada sesuatu yang lebih utama daripada penyembelihan haiwan korban yang menjadi penebusan manusia atas segala nikmat, tentunya Allah tidak akan menyebutkan penyembelihan haiwan korban itu dalam firmannya yang bermaksud: Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar, sebagai tebusan atas Ismail a.s. (surah as-Shaffat ayat 107).
Berdasarkan keterangan hadis dan firman Allah yang diungkapkan dalam al-Quran, amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim yang kemudiannya diwarisi oleh baginda sebagai ibadah dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan. Ibadah korban ini berasal dari zaman Nabi Ibrahim. Tatkala Nabi Ibrahim bersama puteranya Ismail selesai membina Kaabah di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah menguji kekuatan iman kedua-dua nabi ini. Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling tinggi dalam hidup iaitu pengorbanan jiwa dan raga.
Menurut Imam As-Syafiie, hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan umat Islam yang berada di kampung halaman sendiri, kerana ia amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya). Namun begitu, terdapat sebahagian ulama menyatakan ia wajib kepada mereka yang mampu berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Kautsar ayat 2 yang bermaksud: Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu)dan berkorbanlah.
Di dalam al-Quran disebut tentang pengorbanan dua anak Adam. Anak pertama memberi korban dengan tulus ikhlas atas dasar niat untuk mematuhi perintah Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya. Sementara anak yang lain juga berkorban tetapi tidak berdasarkan ketulusan hati dan usaha sungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu korban anak yang pertama diterima di sisi Allah manakala anak kedua tidak diterima oleh Allah. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 27 yang bermaksud: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Haabil dan Qaabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Haabil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qaabil). Berkata (Qaabil): "Sesungguhnya aku akan membunuhmu." (Haabil) menjawab: "Hanya sanya Allah menerima (korban) dari orang- orang yang bertakwa."
Praktik ibadah korban ini kemudiannya diteruskan oleh Nabi Ibrahim sebagaimana firman Allah dalam surah As-Shaffat ayat 102.
Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-samanya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkan apa pendapatmu? Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.
Mengapa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih Ismail kemudian membatalkan dan menebus dengan kibas? Ini bukan hanya ujian untuk kedua-duanya, bukan juga untuk membuktikan ketabahan keluarga Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan kepada siapa saja bahawa tiada sesuatu yang mahal untuk dikorbankan bila panggilan Ilahi telah datang. Inilah bukti iman sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan tersebut bukan kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau dikorbankan kerana Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah kepada manusia.
Amalan berkorban bertindak mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan mendekatkan hubungan manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal. Sementara amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhan) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Ibadah korban memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah SWT setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terpedaya dengan pujukan syaitan, menjauhkan diri daripada Allah serta mengerjakan larangan-Nya. Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi yang dikorban bukan manusia, bukan pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi binatang sebagai petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak, ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.
Korban
Berpandukan kisah Haabil dan Qaabil tentang korban yang diterima oleh Allah, jelas menunjukkan, keikhlasan itu adalah satu sifat yang paling utama dalam ibadah. Amalan berkorban harus menggunakan haiwan yang baik dan tinggi kualitinya, tidak cacat, cukup umur serta banyak dagingnya. Meskipun, hal-hal berkaitan 'darah' atau daging itu tidak sampai kepada Allah, tetapi yang lebih penting adalah ketakwaan kepada Allah. Korban itu tidak memberi erti sama sekali untuk Allah kerana ia adalah Allah, yang Maha Agung, yang tidak memerlukan.
Dengan korban tersebut diharapkan agar takwa kita kepada Allah semakin meningkat. Oleh hal yang demikian, kunci kepada semua amalan sama ada sosial mahupun yang bersifat individual ialah takwa. Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu (surah Al-Hajj ayat 37)
Bila pengorbanan binatang ternak sebagai ritual keagamaan dilakukan pada hari-hari tertentu pada bulan korban, maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan bila disertai sikap takwa kepada Allah. Sikap itulah yang akan membezakan dari pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, keluarga dan bangsa yang belum tentu diredai AllahBolehkah Daging Korban Di Beri Kepada Orang Bukan Islam
Bolehkah Daging Korban Di Beri Kepada Orang Bukan Islam
SOALAN
Jika bukan Islam boleh makan daging akikah, bagaimana pula daging korban?
JAWAPAN
DI negara ini apa yang biasa berlaku ketika raya korban ialah apabila orang Islam dari masjid atau surau atau taman melakukan ibadah korban, ia melibatkan orang Islam sahaja tanpa pembabitan orang bukan Islam.
Perkara ini juga dimaklumi oleh orang bukan Islam bahawa ibadah korban hanya melibatkan orang Islam sahaja. Sebelum ini pun belum ada rungutan daripada kaum bukan Islam yang mengadu mereka tidak tersenarai dalam penerima daging korban. Maksudnya, ia suatu yang dimaklumi oleh masyarakat daripada agama lain bahawa perayaan ini hanya untuk orang Islam. Ini kerana ibadah korban bukan amalan budaya dan ia adalah ibadah khusus di bulan Zulhijjah mulai 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah.
Namun demikian ada timbul persoalan boleh atau tidak daging korban diagihkan kepada orang bukan Islam? Pertama sekali daging korban adalah hak orang yang melakukan ibadah korban, keduanya pula manfaat daripada ibadah korban. Setiap orang melakukan ibadah korban adalah disunatkan membahagikan daging korban itu kepada tiga bahagian. Satu pertiga diambil, sepertiga dimasak dan diberi makan dan sepertiga lagi diagihkan.
Katakanlah Ali berniat melakukan korban kemudian dia masuk satu bahagian, ini kerana seekor lembu boleh dikongsikan tujuh orang. Biasanya lembu yang sihat dan cukup umur dan matang akan mencecah 100 kilogram (kg) lebih dagingnya sahaja.
Bila dibahagikan kepada tujuh bahagian dapatlah setiap seorang dalam 15kg. Daging 15kg itu kalau mengikut saranan Nabi SAW hendaklah dibahagi tiga. Maka jadilah setiap bahagian 5kg. Mungkin juga 5kg kita ambil dan yang bakinya 10kg kita sedekah kepada orang ramai. Kalau kita bahagi 10kg kepada 10 orang maka seorang akan dapat satu kg, maksudnya agihan itu dapat diberikan kepada 10 orang atau lebih daripada itu, paling kurang pun dalam agihan jangan kurang daripada setengah kg.
Persoalan ini ditimbulkan supaya kita dapat lihat adakah keperluan orang Islam dipenuhi? Bukan apa, khuatir dalam sibuk kita bincang hukum pemberian daging kepada orang bukan Islam, rupa-rupanya ada orang Islam yang tidak dapat merasakan daging korban. Dalam keadaan ini saya lebih cenderung kepada pendapat Mazhab al-Syafie, ini kerana demi memelihara manfaat raya korban itu sampai kepada falsafahnya.
Sekiranya kita ingin menjaga perasaan jiran yang bukan beragama Islam, belikan daging untuknya dari pasar. Dan sekiranya ingin kita menjamu selepas daging korban itu dimasak adalah disarankan agar dibeli daging sekilo dua dari pasar untuk dimasakkan bersama daging korban. Ini adalah semata-mata untuk keluar daripada keraguan yang timbul. Dan harus juga diagihkan daging korban kepada golongan yang mempunyai ciri mualaf, iaitu cenderung dan jinak dengan agama Islam. Mudah-mudahan pengagihan itu dapat merapatkan lagi mualaf itu kepada Islam.
Namun di bawah ini akan dijelaskan hukum memberi daging korban kepada orang bukan Islam.
Di dalam Kitab Kasyf al-Qina’ menyatakan Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.
Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu’ disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.
Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.
Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Laith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.
Ibnu Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna’ menyebutkan Mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.
Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.
Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.
Ibh Hazm dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.
Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:
- Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.
- Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.
- Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.
- Semua ulama mazhab sepakat (ijma’) memberi atau memberi makan daging korban atau akikah wajib kepada bukan Islam adalah haram.
Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafie saja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam.
Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat dan tidak harus jika korban wajib.
Sambungan Sunnah Nabi Dalam Ibadah Korban
Menurut sunnah Nabi s.a.w. solat sunat Aidiladha mahupun Aidilfitri dilaksanakan di musolla. tempat terbuka (seperti padang) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat sunat Hari Raya di musolla adalah sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a, dia berkata:
Sebagaimana yang telah kita maklum solat di Masjid Nabawi adalah lebih baik daripada solat 1000 kali di masjid lain selain Masjidil Haram. Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah s.a.w. tetap memerintahkan para sahabat untuk mendirikan solat Hari Raya di musolla. Ibnu Qudamah r.h di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:
“Mengerjakan solat Hari Raya di musholla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi s.a.w. keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat Hari Raya.”
Menurut Ibn Umar r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْبَحُ وَيَنْحَرُ بِالْمُصَلَّى
"Sudah menjadi kebiasaan baginda menyembelih dan berkorban di musolla." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5552.
7. Sunnah menyembelih sendiri haiwan korban.
Sunnah dan afdal mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut agar menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri.
Anas r.a berkata:
ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ
"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565.
Namun, dibolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban mewakilkan penyembelihan kepada orang Islam yang lain.
8. Menyembelih haiwan korban mengikut sunnah.
Hendaklah menyembelih haiwan korban menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan tersebut mati dengan serta-merta. Sebelum upacara menyembelih diadakan, baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri. Ketika menyembelih hendaklah membaca (بِسْمَ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر).
Anas r.a berkata:
ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا
"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama ALLAH dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung keduanya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565.
Ketika menyembelih kita hendaklah mengerat salur udara, kerongkong dan saluran darah leher haiwan tersebut tanpa mengerat gentian saraf di dalam tulang belakang. Darah dari anggota badan haiwan korban tersebut hendaklah dialirkan keluar sepenuhnya sebelum melapahnya.
9. Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan.
Sunnah bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan mensedekahkan sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging tersebut.
Sabda Nabi s.a.w:
فَكُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا
"Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu)." - Hadis riwayat al-Muslim di dalam Sahih al-Muslim, hadis no: 1971.
10. Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban.
Sudah menjadi lumrah bagi masjid-masjid di Malaysia memberi tukang sembelih daging korban tersebut sebagai upah bagi kerjanya. Perbuatan ini bertentangan dengan syarak dan dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. Upah kepada tukang sembelih hendaklah diberikan menggunakan harta sendiri dan bukannya dari hasil daging binatang korban itu.
Ali r.a berkata:
أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا
"Nabi s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1317.
Demikianlah beberapa sunnah Rasulullah s.a.w ketika melaksnakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha. Oleh itu, kita hendaklah bersungguh-sungguh mengamalkan sunnah-sunnah tersebut.
Friday, December 5, 2008
Menelusuri Sunnah Semasa Ibadah Korban 1-5
Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat hari raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu tiga hari selepas solat hari raya Aidiladha. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.
Imam Syafie r.h berkata:
"Waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha…Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Dzulhijjah), tidak boleh lagi menyembelih korban." – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm fi al-Fiqh karya Imam Syafie, edisi terjemahan bertajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Peringkas dan peneliti Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, Pustaka Azzam, Jakarta (2004), jil. 1, m.s. 737.
Sabda Rasulullah s.a.w:
إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِي يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّي ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَنْحَرُ فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا وَمَنْ ذَبَحَ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَّهْلِهِ لَيْسَ مِنْ النُّسُكِ فِي شَيْء
Maksudnya:
"Sesungguhnya perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban). Oleh itu, sesiapa yang melakukan sebegitu dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya sembelihan itu hanyalah menjadi daging untuk diberikan kepada keluarganya (sedekah) bukan termasuk binatang korban." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1961
Sabda Rasulullah s.a.w:
مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَلْيُعِدْ
Maksudnya:
"Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (Aidiladha), dia hendaklah mengulanginya." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5561.
Sabda Rasulullah s.a.w:
كُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبْحٌ
Maksudnya:
"Seluruh hari-hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan." – Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 16151.
2. Haiwan korban tersebut tidak memiliki kecacatan.
Kita hendaklah pastikan bahawa haiwan yang hendak kita korbankan tersebut adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan penyakit lain.
Sabda Rasulullah s.a.w:
أَرْبَعٌ لاَ تَجُوزُ فِي الأََضَاحِيِّ فَقَالَ الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءُ بَيِّنٌ ظَلْعُهَا وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تَنْقَى
Maksudnya:
"Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)." – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Dawud, 2420.
3. Tidak menggunting rambut dan memotong kuku.
Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Dzulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.
Sabda Rasulullah s.a.w:
إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ
Maksudnya:
"Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.
Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.
Menurut Imam al-Nawawi r.h:
"Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atu bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain." – Rujuk Kitab Syarh Muslim karya Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139. Diukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, edisi terjemahan dengan tajuk Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, Pustaka Imam asy-Syafie, Jakarta (2005), ms. 98.
Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada ALLAH dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).
Ibn Qudamah r.h berkata:
"Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada ALLAH. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." – Rujuk Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96. Dinukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, ms. 99
4. Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian.
Jabir r.a berkata:
نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ
Maksudnya:
"Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah s.a.w ketika di Hudaibiyah. Seekor unta untuk 7 orang dan menyembelih lembu untuk 7 orang bersama-bersama Rasulullah s.a.w." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1318.
5. Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya.
Seseorang dibenarkan berkorban serta berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun jumlah yang ramai dan hanya dengan seekor kambing atau sebahagian dari tujuh bahagian itu.
Atha’ bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara berkorban pada zaman Rasulullah s.a.w. Lalu Abu Ayyub menjawab:
كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ
Maksudnya:
"Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain." – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1425.
Hukum Ibadah Korban
HUKUM IBADAH KORBAN Para ulamak berbeza pendapat mengenai hukum melakukan ibadah korban. Ia terbahagi kepada dua pendapat, iaitu:
1. Wajib bagi yang mampu. Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Rabi’ah al-Ra’yi, al-Auza’i, al-Laits bin Saad, salah satu dari pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dan pendapat ini telah dirajihkan (dibenarkan) oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
Dalil-dalil yang menyokong pendapat ini adalah seperti berikut:
"Oleh itu, kerjakanlah solat kerana TUHANnmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)." – Surah al-Kautsar: 2.
Ayat ini menggambarkan kewajipan ibadah korban sebagaimana kewajipan mengerjakan solat. Ini kerana, kedua-dua ibadah tersebut dihubungkan dengan kata penghubung wau (و) bermaksud 'dan' yang mana ia menunjukkan ada persamaan hukum.
Jundab bin Abdillah bin Sufyan al-Bajali r.a berkata:
صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ النَّحْرِ ثُمَّ
خَطَبَ ثُمَّ ذَبَحَ فَقَالَ: مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيَذْبَحْ أُخْرَى مَكَانَهَا وَمَنْ لَمْ يَذْبَحْ فَلْيَذْبَحْ بِاسْمِ اللَّهِ
Maksudnya: "Nabi s.a.w solat pada hari al-Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu menyembelih (bintang) korbannya lantas bersabda: Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya Aidiladha), sembelihlah yang lain sebagai penggantinya dan sesiapa yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama ALLAH." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 985.
Perintah Rasulullah s.a.w agar mengulangi ibadah korban jika ia dilakukan sebelum solat hari raya Aidiladha menunjukkan ia termasuk perkara wajib. Jika tidak, sudah pasti baginda tidak akan memerintahkan agar penyembelihan diulangi.
Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنَا
Maksudnya: "Sesiapa yang memiliki kemampuan (keluasan rezeki) dan tidak menyembelih, maka jangan dekati tempat solat kami." – Hadis riwayat Imam Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 3114
Hadis ini berupa ancaman bagi golongan yang memiliki kemampuan untuk menyembelih pada hari raya Aidiladha tetapi tidak mengerjakan ibadah korban. Ancaman berat ini tidak akan dikeluarkan oleh baginda melainkan ia sebagai bukti mengenai kewajipannya.
Mikhnaf bin Sulaim r.a berkata:
كُنَّا وُقُوفًا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَاتٍ فَسَمِعْتُهُ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّةٌ وَعَتِيرَةٌ. هَلْ تَدْرُونَ مَا الْعَتِيرَةُ؟ هِيَ الَّتِي تُسَمُّونَهَا الرَّجَبِيَّةَ.
Maksudnya: "Kami bersama Rasulullah dan baginda wukuf di Arafah lalu berkata: Wahai manusia! Sesungguhnya wajib bagi setiap keluarga pada setiap tahun (mengerjakan ibadah) korban dan ‘atirah. Baginda berkata: Tahukah kalian apakah ‘atirah itu?. Iaitu yang dikatakan orang Rajabiyah (kambing yang disembelih pada bulan Rejab)." – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam kitab Sunan Tirmizi, hadis no: 1438.
Hadis ini jelas membuktikan bahawa ibadah korban dan ‘atirah itu diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkemampuan. Walau bagaimanapun, hukum bagi ‘atirah telah dimansuhkan. Namun, ia tidak memansuhkan ibadah korban. Bahkan, kewajipannya masih berterusan hingga sekarang. 2. Sunat atau sunat muakkad (sunnah yang amat dituntut) bagi yang mampu.
Inilah pendapat jumhur (majoriti) ulama dan pendapat Imam Syafie r.h. Golongan ini berpegang kepada dalil-dalil seperti berikut:
Menurut Ummu Salamah r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:
إِذَا دَخَلَتْ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا
Maksudnya: "Jika masuk sepuluh hari pertama Dzulhijjah dan salah seorang daripada kamu semua ingin menyembelih (haiwan) korban, janganlah memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.
Dalil ini menunjukkan bahawa ibadah korban tidak wajib berdasarkan kata-kata baginda 'dan salah seorang antara kamu semua yang ingin'. Ia menggambarkan kepada kita bahawa baginda memberi pilihan kepada sesiapa sahaja sama ada untuk menyembelih atau sebaliknya. Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti baginda memberi pilihan kepada seseorang sambil berkata: “Janganlah memotong rambut dan kukunya sehingga selesai menyembelih haiwan korban.”
Jabir r.a berkata:
شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الأَضْحَى بِالْمُصَلَّى فَلَمَّا قَضَى خُطْبَتَهُ نَزَلَ مِنْ مِنْبَرِهِ وَأُتِيَ بِكَبْشٍ فَذَبَحَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ وَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ هَذَا عَنِّي وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي
Maksudnya: "Aku menyaksikan bersama Nabi s.a.w solat Aidiladha di musolla (tanah lapang). Ketika selesai berkhutbah, baginda turun dari mimbar lalu dibawakan seekor kambing lantas Rasulullah menyembelihnya dengan tangannya sendiri sambil berkata: Bismillah wallahu Akbar (Dengan nama ALLAH dan ALLAH Maha Besar). Ini daripadaku dan daripada umatku yang belum meyembelih." – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2427.
Selain itu, kata-kata baginda 'ini dariku dan dari umatku yang belum menyembelih' diungkapkan secara lafaz mutlak dan umum bukan secara khusus. Bermakna, memadai ibadah ini diwakilkan kepada seseorang sebagaimana baginda mewakili seluruh para sahabat yang masih belum melakukan korban.
Inilah dalil menunjukkan ibadah korban tidak wajib. Sekiranya ia wajib, tentu bagi mereka yang meninggalkan ibadah tersebut berhak dihukum dan tidak memadai baginda mewakilkan korbannya itu kepada seseorang.
Abu Sarihah al-Ghiffari, beliau berkata:
مَا أَدْرَكْتُ أَبَا بَكْرٍ أَوْ رَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ وَ عُمَرَ كَانَا لاَ يُضَحِّيَانِ – فِي بَعْضِ حَدِيْثِهِمْ – كَرَاهِيَّةَ أَنْ يُقْتَدَى بِهِمَا
Maksudnya:
"Aku mendapati Abu Bakar atau melihat Abu Bakar dan Umar tidak menyembelih (haiwan) korban – dalam sebahagian hadis mereka – khuatir dijadikan ikutan orang terkemudian." – Hadis riwayat al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra, jil. 9, ms. 295. Syeikh al-Albani telah mensahihkan riwayat ini di dalam Irwa’ al-Ghalil, hadis no: 1139.
Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti Abu Bakar dan Umar r.a akan mendahului umat Islam dalam melakukan ibadah korban.
Sebelum membuat rumusan tentang hukum ibadah korban, kita hendaklah fahami bahawa hukum sunat atau wajib berkaitan sesuatu ibadah hanyalah berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk ditinggalkan ataupun tidak sahaja. Namun, bagi mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w sekiranya sesuatu amalan itu tsabit daripada baginda s.a.w mereka akan berusaha bersungguh-sungguh mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ia wajib atau sunat.
Namun, kedua-dua pendapat tersebut memiliki hujah daripada baginda s.a.w dan seharusnya kita berlapang dada dalam permasalahan khilafiyah sebegini.
Syeikh Muhammad al-Amin al-Syingqiti r.h berkata:
"Aku telah meneliti dalil-dalil daripada sunnah mengenai pendapat yang mewajibkan dan yang tidak mewajibkan ibadah korban. Menurut pandangan kami, tidak ada satu dalil dari kedua-dua pendapat tersebut yang kuat, pasti dan selamat dari kritikan sama ada menunjukkan ia wajib atau tidak…
Yang rajih (tepat) menurutku dalam hal yang tidak jelas mengenai nas-nas dalam suatu perkara kepada suatu perkara yang lain bahkan tanpa mempunyai dalil yang kuat dan jelas ialah berusaha sedaya mungkin keluar dari khilaf dengan melakukan korban apabila mampu. Ini kerana, Nabi s.a.w bersabda: “Tinggalkanlah perkara yang ragu kepada yang tidak ragu.”
Sepatutnya, seseorang tidak meninggalkannya apabila mampu kerana menunaikannya sudah pasti menghilangkan tanggung jawabnya." – Rujuk Kitab Adhwaa’ al-Bayaan Fi Idhah al-Quran bil Qur’an karya Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti, jil. 5 ms. 618.
Oleh itu, penulis lebih cenderung kepada pendapat jumhur (majoriti) ulama kerana mustahil Abu Bakar dan Umar r.a meninggalkan sesuatu amalan yang wajib apatah lagi mereka berdua merupakan imam yang layak manjadi ikutan dan kelayakkan mereka telah dijamin oleh Rasulullah s.a.w
Sabda Rasulullah s.a.w:
فَإِنْ يُطِيعُوا أَبَا بَكْرٍ وَ عُمَرَ يَرْتَشُدُوا
Maksudnya:
"Sekiranya mereka semua mentaati Abu Bakar dan Umar, pasti mereka mendapat petunjuk." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 681
Sejarah Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban
Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lali baginda bersabda:
إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.
Aidiladha juga diberi gelaran sebagai hari raya haji kerana ia diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu dari amal ibadah yang termasuk di dalam rukun Islam yang lima, iaitu ibadah haji. Di samping itu, Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya korban kerana antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri.
Ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah ALLAH. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:
"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.
Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI).
Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian." – Surah al-Soffaat: 101-108.
Wednesday, December 3, 2008
Anjing Tempat Meluah Rasa?

Anjing Jadi Kawan?
FIRMAN Allah bermaksud: "Dan barang siapa yang berpaling dari mengingati-Ku, maka sesungguhnya bagi kehidupan yang sempit dan Kami bangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan buta." (Surah Taha, ayat 124).
Siapa saja kita lihat kehidupan masyarakat Barat hari ini, apa lagi mereka yang tinggal lama di sana, tidak akan berasa asing bahawa masyarakat itu sedang mengalami krisis kemanusiaan yang parah dan berterusan. Mereka sedang menuju arah keruntuhan dan kehilangan tamadun kemanusiaan.
Hal itu disebabkan mereka tenggelam dalam arus materialisme sebagai tuhan baru di dunia barat. Nilai Rabbani tercabut dari hati naluri manusia yang tidak hidup di atas hidayah Allah SWT. Mereka akhirnya hidup dalam kegelapan yang mencengkam.
Pembabitan mereka pada anjing sudah sedemikian rupa, ada yang mengatakan 'No life without dog' (tidak ada kehidupan tanpa anjing). Pada hal untuk memelihara anjing di sana memerlukan biaya yang bukan sedikit. Daging yang dimakan anjing mereka lebih mahal dari daging yang dimakan manusia.
Jika kita mengamati lebih mendalam, dapati keakraban mereka dengan anjing adalah salah satu malapetaka kemanusiaan yang dialami insan Eropah, di mana mereka sudah tidak percaya lagi bersahabat dengan manusia. Bahkan tidak percaya pada anaknya sendiri.
Kenapa jadi begitu? Kerana dari pengalaman hidupnya, mereka merasakan hidup bersama dengan manusia, boleh menimbulkan banyak persoalan, baik dengan pasangan hidup mahupun anak keturunan sendiri. Yang didapati mereka bukan ketenangan, tetapi justeru menambah kesengsaraan. Itulah krisis kemanusiaan Barat.
Berapa banyak orang berusia tua tinggal bersama anjingnya di rumah. Anjing itu betul-betul menjadi teman hidupnya, bahkan dibawa tidur bersama. Ia kerana budaya di barat, anak-anak yang sudah besar tidak mahu tinggal bersama orang tuanya. Orang tua tinggal sendiri di rumahnya. Anak-anak tinggal terpisah dengan keluarganya sendiri, di luar kota atau dalam suatu kota.
Nenek (70-an tahun ke atas), biasanya berjalan naik kereta sendirian berkunjung ke rumah anaknya yang tinggal di kota lain. Akibat kesepian seperti ini, orang yang sudah berusia lanjut merasa sedih dan kesepian tinggal sendirian. Sesungguhnya batin mereka memberontak, hati mereka merindukan hidup dengan anak dan cucunya. Namun itu tidak mungkin terjadi dalam budaya mereka. Inilah yang menyebabkan pelarian kerinduan kepada binatang seperti anjing dalam kehidupan budaya Barat.
Kenapa mesti berteman dengan anjing? Kerana haiwan itu memang memiliki unsur kesetiakawanan yang baik dengan tuannya. Jadi nenek itu mencurahkan kasih sayangnya kepada anjing, kerana ia tidak dapat mencurahkan kepada manusia, sekalipun itu adalah anak atau cucunya sendiri.
Lebih parah, anaknya menitipkan orang tuanya ke rumah kebajikan. Tetapi apakah dengan cara begitu, batin mereka berasa puas dan selesa. Tentu juga mereka tidak berasa puas.
Peribadi mulia masyarakat bertamadun
Peribadi mulia masyarakat bertamadun
SEJARAH membuktikan keperibadian mulia membentuk masyarakat cemerlang dari segi akhlak dan tamadun. Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan sahabat yang kukuh dan mantap dari segi sahsiah dan keperibadiannya adalah dengan menonjolkan akhlak mulia sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang dipaparkan di dalam al-Quran.
Akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa serta faktor pembinaan sesebuah tamadun dan hadharah, bahkan inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW ke dunia. Di dalam Surah al-Ahzab, Allah SWT berfirman di dalam ayat ke 21, "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu."
Asas dilakukan Rasulullah SAW ketika mula membina masyarakat Islam selepas peristiwa hijrah ialah dengan membentuk al-akhlak al-karimah atau akhlak mulia. Dan di dalam sebuah hadis diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, "Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."
Salah satu cara terbaik membentuk akhlak mulia ialah dengan cara pendidikan 'qudwah hasanah' atau teladan yang baik. Setiap individu harus memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga dan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai 'role model' antara satu sama lain. Alangkah indahnya jika suami dan isteri, ibu bapa dan anak, guru dan murid, pemimpin dan rakyat, sahabat dan musuh, menjadi contoh baik antara satu sama lain dan bukannya masing-masing berebut menonjolkan akhlak keji dan personaliti dibenci.
Antara aspek terpenting harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran dan tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar-benarnya.
Selain itu, sabar dalam semua keadaan adalah perkara paling mudah tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. Sifat sabar dibentuk oleh Junjungan Besar sehingga dikagumi sahabat dan musuh bersama baginda semasa hayatnya, bahkan tidak tergambar oleh kita hari ini betapa kesabaran Rasulullah sebenarnya menyelamatkan agama dan usaha syiar baginda dan akhirnya dapat dinikmati oleh seluruh Muslim pada hari ini.
Satu sifat mulia yang ditonjolkan Rasulullah juga ialah sifat pemaaf terhadap kesilapan dilakukan oleh para sahabat dan musuh serta mudah bertolak ansur dan tidak pernah marah melainkan kesalahan itu dilakukan kepada Penciptanya. Sifat ini tentu pernah dilakukan oleh semua orang tetapi ada kala ia tidak dapat dilakukan dalam semua atau setiap kesalahan.
Tetapi Rasulullah tidak pernah melemahkan diri baginda dengan tidak memaafkan kesalahan orang lain ataupun tenggelam oleh rasa marah yang mengawal akal. Inilah juga yang dituruti oleh para sahabat, sehinggakan Saidina Abu Bakar As-Siddiq, sahabat paling rapat dengan baginda ingin mengikuti segala sifat mulia Rasulullah sesuai dengan kemampuannya dan izin Allah.
Sering kali kita dengar pendapat yang mengatakan orang yang bersikap terbuka lebih mudah bermuamalah, boleh menerima perubahan baik, suka mendengar dan tidak memperlekehkan pendapat orang lain.
Sikap terbuka juga melambangkan seseorang berjiwa besar, sanggup berbincang dan mencari penyelesaian terbaik walaupun terpaksa menerima kelemahan diri. Sifat ini yang ada dalam diri para sahabat Rasulullah, sehingga mereka menerima dakwah yang dibawa oleh baginda akhirnya, walaupun bertentangan sama sekali dengan adat dan kebiasaan mereka sejak zaman nenek moyang mereka.
Rasulullah mendidik sahabat menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah, itulah yang membentuk sebuah masyarakat Islam yang begitu unggul sifatnya, beriman dan bertakwa serta cenderung dan mencintai kebaikan.
Kegagalan membentuk masyarakat berakhlak mulia sama seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini, seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Rumi ayat 41 bermaksud: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".
Dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran abad yang baru, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak memandangkan masalah sosial timbul selari dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia. Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredai oleh Allah. Seperti kata pepatah seorang penyair Mesir, Syauqi Bei: "Hanya saja bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya lenyap, maka lenyap pulalah bangsa itu".
Apakah Itu Haji Akbar?
SETIAP kali apabila hari wuquf jatuh pada hari Jumaat, umum umat Islam menganggapnya sebagai Haji akbar. Ini mungkin berdasarkan hari wuquf Rasulullah ketika haji wada’ yang juga berlaku pada hari Jumaat.
Perkataan Haji akbar disebut di dalam al-Quran yang bermaksud: Dan (Inilah) suatu pemakluman daripada Allah dan rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji akbar bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas diri daripada orang-orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, Maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, Maka Ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. Dan beritakanlah kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih. (at-Taubah: 3)
Para Mufassirin (ahli tafsir) berbeza pendapat tentang yang dimaksud dengan Haji akbar, ada yang mengatakan hari Nahar, ada yang mengatakan hari Arafah.
Kebanyakan Mufassirin seperti Ibn kathir, al Sa’diyy, al Syanqitiyy, al Qurtubiyy dan al Tabariyy cenderung menyatakan Haji akbar adalah hari raya haji ataupun hari Nahar.
Sungguhpun begitu yang dimaksud dengan Haji akbar di dalam ayat ini adalah haji yang terjadi pada tahun kesembilan Hijrah. Tidak ada seorang pun ahli tafsir yang berpandangan Haji akbar adalah haji yang wuqufnya jatuh pada hari Jumaat.
Kebanyakan ahli fikah atau Jumhur Fuqaha berpandangan Haji akbar adalah hari Nahar atau Hari Raya Haji. Ini lantaran kebanyakan amalan haji seperti melontar di Jamratul Kubra, bergunting, tawaf Ifadhah dan saie mula ditunaikan para jemaah haji pada hari Nahar.
Tokoh besar fiqh di dalam Mazhab Syafiee, Imam al Nawawiy menyatakan: “Humaid menyatakan hari nahar adalah hari Haji akbar, ini kerana qaul Abi Hurairah, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam sahih kedua-duanya…. Ini kerana kebanyakan manasik dilakukan pada hari tersebut, adapun orang yang mengatakan Haji akbar adalah hari arafah mereka berhujahkan hadis ‘haji adalah arafah’ tetapi hadis Abu Hurairah menolak pandangan ini.
Al Qadhi ‘Ayyadh menukilkan yang Haji akbar menurut Mazhab Malik adalah hari Nahar, manakala menurut Mazhab Syafiee adalah hari Arafah.
Realitinya adalah di sebalik apa yang beliau nyatakan, bahkan Mazhab Syafiee dan Ashabnya adalah hari Nahar seperti yang telah disebut wallahu ‘alam.
Shamsuddin al Sarkhasiyy seorang tokoh daripada Mazhab Hanafi menyatakan: “Tawaf ziarah adalah rukun haji dan dia adalah Haji akbar pada takwil firman Allah: surah Taubah ayat ketiga. Waktunya adalah pada hari Nahar”.
Fuqaha Maliki juga menyatakan perkara yang sama, umpamanya Muhammad ibn Yusuf menyatakan: “Malik berkata: hari Nahar adalah hari Haji akbar”.
Tersebut di dalam al Mughniyy ‘ala Mukhtasar Al Kharqiy sebuah karya besar di dalam Mazhab Hanbali: Fasal: Hari Haji akbar adalah hari Nahar, Sesungguhnya Rasulullah telah berucap pada hari nahar dengan berkata, “Inilah hari Haji akbar”.
Dinamakan demikian kerana banyaknya amalan haji yang ditunaikan pada hari tersebut dari wuquf di Masy’ar, bertolak ke Mina, melontar, menyembelih, bercukur, tawaf ifadhah dan kembali ke Mina untuk bermalam...”
Berdasarkan paparan di atas jelas kepada kita bahawa Haji akbar menurut fuqaha keempat-empat mazhab utama di dalam Islam adalah Hari Nahar.
Haji akbar menurut muhaddithin
Di sini dinukilkan beberapa pandangan Muhaddithin berkenaan dengan Haji akbar.
-Menurut Muhammad ibn ‘Ali al Shaukaniyy: “Sabdanya: (Hari Nahar) iaitu hari Haji akbar menurut pandangan yang sahih di dalam Mazhab Syafiee, Malik dan Ahmad...”
-Abu al ‘Ala al Mubarakfuriyy menyatakan: “Telah terkenal di kalangan orang awam apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, haji pada tahun itu adalah Haji akbar, tiada asal pada pandangan ini. Benar Razin telah meriwayatkan daripada Talhah bin Ubaidullah bin Karz secara mursal: “Sebaik-baik hari adalah hari Arafah apabila jatuh pada hari Jumaat, maka ia lebih utama daripada 70 kali haji di hari selain dari hari Jumaat”, demikianlah seperti yang terdapat di dalam Jamu’ al Fawaid dan ia adalah hadis mursal yang saya tidak dapati isnadnya”.
-Menurut al Zarqaniyy pula: “...(setelah beliau menyebut hadis Razin tersebut)...al Hafiz telah mengkajinya dan menyatakan: aku tidak mengetahui halnya kerana ia tidak menyebut dua sahabat yang meriwayatkan hadis ini dan tidak mentakhrijnya….. dan di dalam al Hadyu karangan Ibn al Qayyim: Apa yang tersebar di atas lidah orang awam yang wuquf pada hari Jumaat menyamai 72 kali haji adalah riwayat yang palsu/batil tidak ada asalnya dari Rasulullah SAW juga tidak daripada mana-mana sahabat ataupun Tabiein”.
-Al Imam Ibn Hajar Al Asqalaniyy ketika mensyarahkan hadis berkenaan penurunan ayat Allah dalam surah al-Maaidah ayat 3 yang bermaksud: Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu..., dengan katanya: “... Hadis ini menjadi dalil kepada keistimewaan wuquf pada hari Jumaat berbanding dengan hari-hari lain, kerana Allah SWT telah memilih bagi Rasul yang terbaik dan amalan itu mulia dengan kemuliaan masa dan tempat. Hari Jumaat pula adalah sebaik-baik hari dalam seminggu, kerana padanya, terdapat satu saat yang mustajab padanya doa lebih-lebih lagi bagi qaul yang mengatakan ia selepas asar.
Adapun hadis yang disebut oleh Razin secara marfu’ di dalam Jami’nya: “Sebaik-baik hari adalah hari Arafah apabila jatuh pada hari Jumaat, maka ia lebih utama daripada 70 kali haji di hari selain dari hari Jumaat. Aku tidak mengetahui halnya kerana ia tidak menyebut dua sahabat yang meriwayatkan hadis ini dan tidak mentakhrijnya... secara keseluruhannya dari kedua-dua- nya ia mensabitkan kelebihan dengan yang demikian itu, Wallahu ‘alam”.
Berdasarkan pandangan-pandangan yang dipaparkan jelas kepada kita yang mengHaji akbarkan wukuf pada hari Jumaat adalah suatu yang tidak mempunyai asas yang kuat. Namun kelebihan wuquf pada hari Jumaat adalah suatu yang sabit dan diakui.
Kesimpulan
Paparan ringkas ini menunjukkan realitinya Haji akbar datang pada setiap tahun dengan datangnya hari Nahar iaitu Hari Raya Haji.
Ia menjadi agung dan besar dengan keagungan amalan haji dan korban yang dilakukan oleh umat Islam pada hari tersebut.
Wuquf pada hari Jumaat pula adalah suatu keistimewaan yang amat besar kerana ia menghimpunkan keutamaan hari wuquf dan hari Jumaat di samping keutamaan beribadat di Padang Arafah. Wallahu ‘alam.

