Saturday, December 6, 2008

Sambungan Sunnah Nabi Dalam Ibadah Korban

6. Ibadah korban dilaksanakan di musolla.

Menurut sunnah Nabi s.a.w. solat sunat Aidiladha mahupun Aidilfitri dilaksanakan di musolla. tempat terbuka (seperti padang) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat sunat Hari Raya di musolla adalah sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a, dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى. فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ.
Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w. keluar menuju musholla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 956.

Sebagaimana yang telah kita maklum solat di Masjid Nabawi adalah lebih baik daripada solat 1000 kali di masjid lain selain Masjidil Haram. Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah s.a.w. tetap memerintahkan para sahabat untuk mendirikan solat Hari Raya di musolla. Ibnu Qudamah r.h di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:

“Mengerjakan solat Hari Raya di musholla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi s.a.w. keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat Hari Raya.”
Oleh itu disunnahkan melaksanakan ibadah korban di tanah lapang yang digunakan untuk mengerjakan solat Aidiladha (musolla) demi memperlihatkan syiar Islam.

Menurut Ibn Umar r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْبَحُ وَيَنْحَرُ بِالْمُصَلَّى

Maksudnya:
"Sudah menjadi kebiasaan baginda menyembelih dan berkorban di musolla." Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5552.

7. Sunnah menyembelih sendiri haiwan korban.

Sunnah dan afdal mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut agar menyembelih haiwan korbannya dengan tangannya sendiri.

Anas r.a berkata:

ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ

Maksudnya:
"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565.

Namun, dibolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban mewakilkan penyembelihan kepada orang Islam yang lain.

8. Menyembelih haiwan korban mengikut sunnah.

Hendaklah menyembelih haiwan korban menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan tersebut mati dengan serta-merta. Sebelum upacara menyembelih diadakan, baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri. Ketika menyembelih hendaklah membaca (بِسْمَ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر).

Anas r.a berkata:

ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Maksudnya:
"Nabi s.a.w pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama ALLAH dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung keduanya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5565.

Ketika menyembelih kita hendaklah mengerat salur udara, kerongkong dan saluran darah leher haiwan tersebut tanpa mengerat gentian saraf di dalam tulang belakang. Darah dari anggota badan haiwan korban tersebut hendaklah dialirkan keluar sepenuhnya sebelum melapahnya.

9. Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan.

Sunnah bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan mensedekahkan sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging tersebut.

Sabda Nabi s.a.w:

فَكُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا
Maksudnya:
"Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu)." - Hadis riwayat al-Muslim di dalam Sahih al-Muslim, hadis no: 1971.

10. Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban.

Sudah menjadi lumrah bagi masjid-masjid di Malaysia memberi tukang sembelih daging korban tersebut sebagai upah bagi kerjanya. Perbuatan ini bertentangan dengan syarak dan dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. Upah kepada tukang sembelih hendaklah diberikan menggunakan harta sendiri dan bukannya dari hasil daging binatang korban itu.

Ali r.a berkata:

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Maksudnya:
"Nabi s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1317.

Demikianlah beberapa sunnah Rasulullah s.a.w ketika melaksnakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha. Oleh itu, kita hendaklah bersungguh-sungguh mengamalkan sunnah-sunnah tersebut.

No comments: