
Rakyat bergembira kejadian dianggap berjaya hina Bush
BAGHDAD: Rakyat Iraq dan negara Arab lain semalam menyambut dengan gembira berita Presiden George W Bush dilempar dengan kasut pada sidang akhbar di Baghdad kelmarin.
Ramai di Asia Barat tidak menganggap insiden itu sebagai gurauan.
Rakaman memaparkan Bush mengelak ‘kasut terbang’ pada sidang akhbar di Baghdad itu diulang tayang di rangkaian televisyen satelit serantau dan menjadi saluran bagi orang Arab melepaskan geram terhadap Bush.
‘Padan muka Bush,’ kata seorang peniaga Jordan, Raed Mansi, di Amman.
Membaling kasut ke arah seseorang adalah satu penghinaan besar dalam budaya Arab. Ia seumpama memberitahu seseorang: “Awak lebih hina daripada kotoran di tapak kasut saya.”
‘Kasut terbang’ itu menjadi imej terakhir Bush di Iraq sebelum berundur sebagai presiden 20 Januari ini.
Wartawan stesen televisyen Iraq, Muntadhar al-Zeidi yang melempar kasut berkenaan dan ditangkap oleh pihak berkuasa selepasnya, dianggap sebagai seorang wira di negara Arab.
“Semua rakyat Iraq harus bangga dengan lelaki berani ini. Sejarah akan selama-lamanya mengingati beliau,” kata seorang guru sekolah rendah di Baghdad.
Seorang profesor sains politik di Universiti An Najah di Tebing Barat, Abdel-Sattar Qassem menulis secara online dalam kolumnya:
“Bush mahu mengakhiri kepemimpinannya dengan pujian dan kata-kata aluan daripada konconya di negara Arab dan Islam.
“Tetapi kasut pula diterimanya daripada seorang lelaki Arab sebenar menandakan sejarah hitam Bush dan membolehkan orang Arab berasa bangga semula.”
Seorang pelajar berusia 23 tahun pula berkata di Kaherah: “Saya berulang kali melihat video kasut terbang itu di dalam You Tube dan berasa seronok setiap kali melihat (al-Zeidi) berdiri dan memanggil Bush anjing.
“Tetapi, sayang kasut itu tidak mengenai Bush,” katanya. - AP
No comments:
Post a Comment