Tuesday, December 23, 2008

Santa Clause Melayu Islam?

Santa Clause Melayu

Mengucap tahniah kepada kaum bukan Islam sempena hari-hari kebesaran agama mereka seperti hari Krismas, Deepavali, Thaipusam dan sebagainya, termasuk antara masalah furu' (cabang) dalam akidah Islam yang diperselisihkan antara ulama pada zaman ini. Perselisihan pendapat antara ulama mengenai hukum itu,berpunca daripada tasawwur yang kurang jelas terhadap maksud ucapan selamat
hari-hari kebesaran kaum Islam yang dikemukakan itu.

Jika maksud pengucapan itu adalah ikut serta berhari raya, merelai kekufuran kaum bukan Islam dan berkasih sayang dengan mereka atas nama agama, maka sememangnya haram dan sama sekali tidak boleh dilakukan.


Jika maksud ucapan selamat hari-hari kebesaran kaum bukan Islam itu tidak lebih daripada hanya ikut bercuti pada hari itu, membalas ucapan selamat Hari Raya yang diucapkan terdahulu, atau hanya memperlihatkan rasa senang hati dengan kegembiraan mereka berhari raya, maka kiranya pengucapan seumpama ini tidak termasuk dalam hal-hal akidah yang sekali gus menunjukkan rela hati terhadap agama dan kepercayaan mereka.

Meneliti beberapa fatwa yang dipamerkan melalui laman-laman web, seperti Islam-Online.net, Islam.qa.net. Islamweb dan lain-lain, didapati beberapa ulama terkemuka di dunia Islam kini turut memfatwakan hukum merayakan hari-hari kebesaran kaum-kaum bukan Islam. Antara mereka yang mengeluarkan fatwa dan pendapat ialah:

1. Muhammad Saleh al-Munajjid, seorang ulama dan ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi. Beliau berpendapat hukum mengucap tahniah kepada bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka seperti hari Krismas dan sebagainya adalah haram dan bertentangan asas-asas akidah Islam. Alasan beliau ialah:

Pertama: Hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam disuruh supaya tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Barang siapa meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka ia daripada golongan mereka - (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093).


Kedua: Dalam suatu kaedah, ulama Islam telah mengambil ketetapan iaitu merelai kekufuran adalah kufur. Ikut serta berhari raya dengan kaum bukan Islam, serta mengucap tahniah dan selamat Hari Raya kepada mereka, adalah antara tanda kerelaan hati terhadap kekufuran seseorang. Islam menolak sekeras-kerasnya sikap itu.

Ketiga: Umat Islam dikehendaki bersikap benci terhadap kaum bukan Islam. Mereka wajib mencintai hanya kepada orang mukmin. Sikap ini disebutkan dalam salah satu judul Sahih al-Bukhari iaitu al-Hub fi'llah wa al-bughd fi'llah min al-iman (antara ciri iman ialah cinta dan benci kepada Allah). Inilah juga sikap yang wajib diteladani pada nabi Muhammad s.a.w., iaitu berkeras dengan bukan Islam dan berkasih sayang sesama mukmin (surah al-Fatah: ayat 29).

Sebagai kesimpulan, mengucap tahniah kepada kaum bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka adalah suatu bentuk kasih sayang dan merelai kekufuran mereka. Keadaannya sama dengan merelai berlakunya kejadian-kejadian maksiat dan dosa-dosa seperti zina, minum arak dan sebagainya.

Dua komen kepada pandangan Syeikh al-Munajjid ini, iaitu:

a. Pendapat beliau tidak membezakan antara jenis kafir, sama ada musyrikatau ahli kitab, kafir yang memusuhi Islam dan yang tidak memusuhinya, sedangkan al-Quran membezakan antara jenis-jenis kafir itu, lalu al-Quran membenarkan umat Islam berbuat baik terhadap kafir yang tidak memusuhi Islam dan memberi sedikit keistimewaan kepada kafir ahli kitab seperti harus kahwin dengan wanita mereka dan makan haiwan sembelihannya.

Hubungan dua hala

Khusus bagi kaum kafir yang tidak memusuhi Islam, Allah mengharuskan berbuat baik kepada mereka, iaitu dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 yang bermaksud:

Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu.


Tentang ahli kitab pula Allah berfirman dalam surah al-Ma'idah, ayat 5 yang bermaksud: Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka.

Ayat ini menunjukkan adanya hubungan dua hala antara kafir ahli kitab dengan umat Islam dan juga dengan kafir yang setia kepada kerajaan Islam.

b. Fatwa beliau tidak mengecualikan juga hubungan kemanusiaan, sedangkan bidang-bidang kemanusiaan kita tidak dilarang mengadakan hubungan baik. Hubungan yang langsung terputus dengan sendirinya tidak memberi laluan kepada pendakwah untuk menyatakan kebaikan Islam kepada mereka, sedangkan agama ini adalah agama dakwah, agama damai dan selamat. Perang hanya berlaku apabila dakwah ditolak, jalan-jalan damai tidak wujud lagi kepada pendakwah.

Pandangan Syeikh al-Munajjid ini agak sehala dan sedikit keterlaluan, kerana tidak mengecualikan kafir yang tidak memusuhi Islam dan yang setia patuh kepada pemerintahannya. Fatwa beliau juga tidak membezakan antara amalan Hari Raya kaum bukan Islam yang ada hubungan dengan akidah dan yang tiada hubungan dengan akidah.

Memang jelas haram bagi umat Islam menyertai Hari Raya kaum bukan Islam, seperti memasang lampu warna-warni di keliling rumah, menghias rumah dengan pokok Krismas, menyertai perarakan Hari Deepavali dan lain-lain, kerana amalan ini ada hubungan terus dengan akidah. Tetapi jika mereka menghulur makanan pada hari itu dan kita terimanya dengan baik hati, serta mengucapkan terima kasih kerana hadiah yang diberi mereka, saya kira ia tidak ada kena-mengena dengan akidah, bahkan harus kita terima hadiah dan makanan halal yang mereka beri.

Demikian juga jika pada hari-hari kebesaran itu merupakan hari kelepasan am, semua pejabat dan kakitangan kerajaan diberi cuti, termasuk kakitangan beragama Islam. Tidak masuk akal jika kita bersuka ria kerana bercuti pada hari itu, maka kita boleh dianggap turut membesarkan syiar agama dan budaya kaum bukan Islam.

2. Dr. Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat: Jika kaum bukan Islam memulakan ucapan selamat Hari Raya mereka kepada kita, maka kita juga harus membalas ucapan yang serupa kepada mereka, kerana ini tidak lebih daripada hanya mewujudkan rasa simpati antara satu sama lain. Ia tidak bermakna bahawa kita telah merelakan agama dan kepercayaan terhadap Isa Maryam sebagai Tuhan dan lain-lain pemujaan.

Al-Qaradawi memberi beberapa alasan, antaranya: Islam tidak melarang kita berbuat baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan kita. Kita harus berbuat baik kepada mereka, sebagaimana mereka berbuat baik kepada kita. Ayat 8 dalam surah al-Mumtahanah yang dikemukakan terdahulu dijadikan hujah.

Menurut al-Qaradawi lagi, bidang-bidang kerjasama antara Islam dan bukan Islam seperti bidang teknikal, ketukangan dan lain-lain masih terbuka. Bahkan Nabi s.a.w. pernah menggunakan kepakaran seorang Yahudi bernama Abdullah Ibn Urayqit sebagai penunjuk jalan ketika baginda berhijrah ke Madinah.

Peranan Abdullah ini sangat besar, ada kemungkinan jika dia berniat jahat pada ketika itu, kesannya boleh menggagalkan strategi hijrah atau jika dia mengambil kesempatan menipu, maka sudah pasti kesannya sangat buruk kepada Islam dan dakwah, namun baginda tetap menggunakan juga khidmat kepakaran Yahudi yang bukan Islam itu.

Sebagai kesimpulan, Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat harus bagi kita mengucapkan tahniah dan selamat Hari Raya seperti hari Krismas kepada kaum bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini.

Pendapat al-Qaradawi ini juga dikira ada sedikit keterlaluan apabila beliau mengharuskan ucapan tahniah kepada kaum bukan Islam sebagai ucapan balas pada hari Krismas dan sebagainya. Ini kerana ucapan tahniah itu pada hakikatnya doa dan mengharapkan Allah memberi kebaikan kepada mereka, sedangkan ulama sepakat menyatakan haram berdoa kepada kaum bukan Islam sekalipun ia hanya kerana membalas ucapan yang mereka mulakan.

Tidak ada kepastian apakah al-Qaradawi mengharuskan juga pengiriman perutusan kad-kad hari Krismas, jika ia hanya kerana membalas kad-kad yang mereka kirimkan, sedangkan dalam kad-kad itu biasanya tertulis kata-kata yang berupa doa selamat, harapan dan cita-cita yang lebih mirip kepada budaya dan syiar agama Kristian.

Setelah mempertimbangkan antara dua fatwa yang dikeluarkan oleh al-Munajjid dan al-Qaradawi di atas, Makanya lebih baik memilih jalan yang lebih sederhana, iaitu individu kafir yang dengan terang-terang memusuhi Islam dan umatnya, tidak harus diwujudkan sebarang hubungan pada hari-hari perayaan mereka, sekalipun mereka terdiri daripada ahli kitab.

Sebaliknya kafir yang setia kepada kerajaan Islam, seperti kaum-kaum bukan Islam yang tinggal di Malaysia, jika mereka telah menunjukkan kesetiaan yang baik kepada negara, memberi sumbangan ke arah keharmonian antara kaum serta hormat-menghormati antara kaum, terutamanya dengan masyarakat Islam, maka tiada salahnya kita berkongsi raya dengan mereka dalam hal-hal yang tidak berkaitan akidah dan tidak menyentuh kesucian Islam.

Bagaimanapun, kita tidak harus memandang kecil isu penerapan budaya dan syiar bukan Islam yang begitu mudah menyerap ke dalam masyarakat kita, terutama melalui media elektronik yang sangat digemari oleh anak-anak kita.

4 comments:

Hezesuze said...

sambut cutinya je x pa jgn smpai smbut christmas nya...hehehe

Anonymous said...

Kenapa Mufti Saudi senyap pasal GAZA. Sedangkan Qadrawi isytiharkan jihad perang dengan Yahudi.

Nuha Hashim said...

salam. agak musykil dengan maksud hadis yang diambil. sejak bila ya Islam mengajar agar kita membenci yang bukan Islam?

Apakah kelebihan dan kehebatan kita yang Alhamdulillah, dipilih Allah untuk lahir dalam keluarga muslim sehinggakan perlu membenci yang lain?
Jika begitu, tampak tidak adillah Allah kerana menjadikan manusia ada yang sebahagiannya lahir sudah Islam dan sebahgian yang lain lahir dlm keluarga yg non-muslim..
Seharusnya Allah ciptakan seluruh manusia ini muslim jika anda berpendapat begitu..

Tetapi Islam bukan begitu. Kerana itu Allah memlih kita yang sudah muslim sejak lahir ini untuk mengajak yg non-muslim tersebut MELAINKAN YANG JELAS MEMBENCI ISLAM..

Sedangkan jika kita telusuri kembali seerah, tidak pernah ada cerita yang menunjkkan Rasulullah bermusuh dgn non-muslim yg baik dgn Islam..

Siapa tahu, dgn kebaikan akhlak dan keelokkan teladan yg kita tunjukkan, Allah membuka hati mereka..

Tetapi ingat, ini hanya utk non-muslim yg tidak jelas mmbenci Islam..lebih2 lagi media kini berat sebelah. Siapakah yg dapat mengkhabarkan pada mereka akan kecantikkan dan kebaikan Islam melaikan diri kita masing2 yg Alhmdh sudah muslim ini..

kerja da'ie adalah mengubah bukan menghukum..Jika semuanya suka menghukum, nescaya dunia tidak akan berubah selama2nya melainkan hanya menakutkan msyrkt dgn Islam..

salam ukhuwah,
pelajar Fiqh wa usulu
Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan..

Anonymous said...

saya bersetuju dengan lurv4Allah

perlulah diingatkan sekarang ini banyak golongan2 yang hanya ingin melihat sesuatu perkara itu dari segi rasional

jika saya membaca artikel ini dari perspektiv orang non muslim atau orang yang tidak beriman dengan islam, kemungkinan sekali saya katakan bahawa islam adalah agama yang penuh dengan diskriminikasi

adakah kita sebagai khalifah perlu bersikap keras sentiasa kepada non muslim? dari sudut mana kah mereka akan hormat dan teladani kita

mungkin keta perlu kaji lagi apakah pendekatan yang lebih baik

sekadar buah fikiran bersama