Wednesday, December 3, 2008

Peribadi mulia masyarakat bertamadun

Peribadi mulia masyarakat bertamadun

SEJARAH membuktikan keperibadian mulia membentuk masyarakat cemerlang dari segi akhlak dan tamadun. Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan sahabat yang kukuh dan mantap dari segi sahsiah dan keperibadiannya adalah dengan menonjolkan akhlak mulia sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang dipaparkan di dalam al-Quran.


Akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa serta faktor pembinaan sesebuah tamadun dan hadharah, bahkan inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW ke dunia. Di dalam Surah al-Ahzab, Allah SWT berfirman di dalam ayat ke 21, "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu."

Asas dilakukan Rasulullah SAW ketika mula membina masyarakat Islam selepas peristiwa hijrah ialah dengan membentuk al-akhlak al-karimah atau akhlak mulia. Dan di dalam sebuah hadis diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, "Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."


Dan di dalam hadis lain diriwayatkan Abu Daud dan Turmuzi, Rasulullah SAW bersabda bermaksud, "Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik".


Salah satu cara terbaik membentuk akhlak mulia ialah dengan cara pendidikan 'qudwah hasanah' atau teladan yang baik. Setiap individu harus memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga dan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai 'role model' antara satu sama lain. Alangkah indahnya jika suami dan isteri, ibu bapa dan anak, guru dan murid, pemimpin dan rakyat, sahabat dan musuh, menjadi contoh baik antara satu sama lain dan bukannya masing-masing berebut menonjolkan akhlak keji dan personaliti dibenci.

Antara aspek terpenting harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran dan tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar-benarnya.

Di antara akhlak mulia yang dimodelkan Rasulullah kepada para sahabat ialah bersifat benar. Sifat ini meliputi semua perbuatan, perkataan dan gerak hati. Tidak ada sekelumit pun dendam, niat jahat, berbicara untuk menyakiti hati orang lain semata-mata atau melakukan sesuatu perbuatan yang bukan saja mengundang kesusahan dan penderitaan kepada orang lain tetapi juga kemurkaan Allah yang dijadikan ikutan, malahan itulah sempadan yang dijauhi oleh para sahabat dalam meningkatkan keperibadian selari dengan perintah agama.


Selain itu, sabar dalam semua keadaan adalah perkara paling mudah tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. Sifat sabar dibentuk oleh Junjungan Besar sehingga dikagumi sahabat dan musuh bersama baginda semasa hayatnya, bahkan tidak tergambar oleh kita hari ini betapa kesabaran Rasulullah sebenarnya menyelamatkan agama dan usaha syiar baginda dan akhirnya dapat dinikmati oleh seluruh Muslim pada hari ini.

Satu sifat mulia yang ditonjolkan Rasulullah juga ialah sifat pemaaf terhadap kesilapan dilakukan oleh para sahabat dan musuh serta mudah bertolak ansur dan tidak pernah marah melainkan kesalahan itu dilakukan kepada Penciptanya. Sifat ini tentu pernah dilakukan oleh semua orang tetapi ada kala ia tidak dapat dilakukan dalam semua atau setiap kesalahan.

Tetapi Rasulullah tidak pernah melemahkan diri baginda dengan tidak memaafkan kesalahan orang lain ataupun tenggelam oleh rasa marah yang mengawal akal. Inilah juga yang dituruti oleh para sahabat, sehinggakan Saidina Abu Bakar As-Siddiq, sahabat paling rapat dengan baginda ingin mengikuti segala sifat mulia Rasulullah sesuai dengan kemampuannya dan izin Allah.

Sifat tenang juga menggambarkan peribadi baik dan menunjukkan personaliti disukai ramai. Tenang sewaktu berbicara, mudah difahami dan arahannya cepat dituruti, itulah yang digambarkan peribadi Rasulullah yang dikagumi para sahabat dan rakyat.

Sering kali kita dengar pendapat yang mengatakan orang yang bersikap terbuka lebih mudah bermuamalah, boleh menerima perubahan baik, suka mendengar dan tidak memperlekehkan pendapat orang lain.

Sikap terbuka juga melambangkan seseorang berjiwa besar, sanggup berbincang dan mencari penyelesaian terbaik walaupun terpaksa menerima kelemahan diri. Sifat ini yang ada dalam diri para sahabat Rasulullah, sehingga mereka menerima dakwah yang dibawa oleh baginda akhirnya, walaupun bertentangan sama sekali dengan adat dan kebiasaan mereka sejak zaman nenek moyang mereka.

Rasulullah mendidik sahabat menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah, itulah yang membentuk sebuah masyarakat Islam yang begitu unggul sifatnya, beriman dan bertakwa serta cenderung dan mencintai kebaikan.

Kegagalan membentuk masyarakat berakhlak mulia sama seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini, seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Rumi ayat 41 bermaksud: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran abad yang baru, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak memandangkan masalah sosial timbul selari dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia. Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredai oleh Allah. Seperti kata pepatah seorang penyair Mesir, Syauqi Bei: "Hanya saja bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya lenyap, maka lenyap pulalah bangsa itu".

No comments: