Monday, December 8, 2008

Apakah Boleh Melihat Allah swt Di Syurga?

Melihat Allah di syurga

SOALAN: Saya mendapat tahu banyak juga, ajaran agama yang mungkin tidak selaras dengan lojik akal kebanyakan manusia. Sebab itu terdapat golongan yang cuba menolak beberapa perkara seperti azab kubur, melihat Allah SWT dalam syurga. Mereka yang menafikan perkara ini seperti kumpulan ahli bidaah dan muktazilah. Bagaimana pendirian kita ahli sunnah dalam perkara ini?

- Muhammad Haikal Hussin, Merbuk, Kedah.

JAWAPAN: Dalam menghadapi perkara tersebut, kita sepatutnya bersikap terbuka dan akur dengan apa yang sah dan thabit dari khabar al-Quran dan hadis yang datang daripada Rasulullah SAW. Selaras dengan pendirian umat Islam seluruhnya, dan tidak harus menolak atau mengingkari perkara tersebut kerana semata-mata berlainan dari apa yang biasa berlaku mengikut fikiran kita sahaja dan boleh dianggap mustahil pada adat seperti azab kubur dan melihat Allah dalam syurga di akhirat nanti. Demikian juga hadis mengenai lalat yang masuk ke dalam air yang disunatkan kita supaya menekan lalat itu agar tenggelam untuk megimbangi racun dan penawarnya.

Manusia hari ini mampu mencipta berbagai-bagai peralatan yang sangat canggih dan boleh dikira mustahil pada masa dulu. Kalau diberitahu kepada mereka (datuk nenek kita) pada masa itu, mereka akan menuduh kita sebagai orang gila dan sebagainya. Justeru itulah ulama menggariskan, bahawa agama ini barangkali menceritakan perkara yang pelik dan tidak mampu difikir oleh akal, tetapi ianya sekali-kali tidak mungkin dikira perkara yang mustahil pada akal, kerana tidak ada pertentangan antara apa yang sahih dari al-Quran dan hadis Rasulullah saw dan antara kenyataan lojik akal manusia. Apabila terdapat sangkaan pertentangan seperti itu, maka tentulah ada kesilapan di mana-mana, sama ada nukilan cerita itu, tak berapa tepat, atau terdapat kecacatan lojik itu sendiri di mana-mana, atau apa yang diterima sebagai agama itu bukan agama sebenarnya, atau apa yang dikira lojik dari kajian sains itu, bukan kajian ilmiah, malah ia cuma andaian rambang.

Lantaran inilah ramai yang tersilap langkah dan menyeleweng dari garis kebenaran. Kerana sikap ekstrem mereka, seperti muktazilah dan lainnya menolak hadis sahih dari Bukhari Muslim dan sebagainya kerana semata-mata cerita atau perkara itu, dikira pelik dan jauh pada pandangan akal mereka. Ini dapat kita saksikan penafian mereka terhadap soal mungkar nakir dan azab kubur. Begitu juga pendirian mereka mengenai hadis timbangan amal dan titian sirat dan sebagainya. Demikian juga mengenai hadis jin dan hubungannya dengan manusia. Sehingga ada sekumpulan lain menafikan hadis ahad dan menerima apa yang selaras dengan pendapat dan fikiran mereka sahaja.

Sebagai contoh ramai kalangan pembela satu gerakan pembaharuan pada hari ini, mempersoalkan hadis sahih yang bermaksud "Dalam syurga nanti terdapat pokok-kayu yang mana orang berkenderaan di bawah bayangan teduhnya tak dapat melalui (melepasi) bayangannya selama perjalanan 100 tahun (Riwayat Syaikhan dari Sahl bin Sa'ad dan Abi Sa'id juga Abu Hurairah).

Sesuai dengan huraian hadis ini Ibni Kathir ra. menyatakan dalam tafsirnya mengenai firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bayangan yang memanjang (Surah al Waqi'ah ayat 30). Maksud ayat ini telah jelas (thabit) daripada Rasulullah SAW malah riwayatnya adalah mutawatir dan disepakati sahihnya di sisi para ulama. Asas utama yang memisahkan kita dengan mereka itu (kumpulan sesat tadi) ialah kesilapan mereka yang terperangkap dalam satu kaedah yang salah iaitu qias yang ghaib dengan yang syahid atau qias dunia dengan akhirat, atau qias yang qadim dengan yang baru. Ini semua asas dan garis pemisah antara kumpulan benar dan kumpulan salah tadi.

Oleh itu berhati-hatilah dalam sesuatu perkara mengenai agama sebab ahli Sunnah Waljamaah telah bersepakat mengatakan harus melihat Allah dalam syurga nanti dan hakikat ini telah thabit dengan al-Quran sendiri melalui firman-Nya bermaksud: "Wajah-wajah (orang mukmin) pada hari itu akan berseri-seri kerana melihat dan memandang Tuhannya" (Surah al-Qiamah ayat 23).

Tetapi bukan sebagaimana melihat kita pada hari ini dengan mata, tetapi dikatakan melihat itu dengan muka sekaliannya kepada Tuhannya yang tidak berkaifiat dan laisa kamislihi syai (Tiada suatu yang menyerupai-Nya). Wallahualam.

No comments: