Friday, December 5, 2008

Menelusuri Sunnah Semasa Ibadah Korban 1-5

1. Waktu perlaksanaan ibadah korban.

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat hari raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu tiga hari selepas solat hari raya Aidiladha. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.

Imam Syafie r.h berkata:

"Waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha…Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Dzulhijjah), tidak boleh lagi menyembelih korban." – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm fi al-Fiqh karya Imam Syafie, edisi terjemahan bertajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Peringkas dan peneliti Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, Pustaka Azzam, Jakarta (2004), jil. 1, m.s. 737.

Sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِي يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّي ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَنْحَرُ فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا وَمَنْ ذَبَحَ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَّهْلِهِ لَيْسَ مِنْ النُّسُكِ فِي شَيْء

Maksudnya:
"Sesungguhnya perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban). Oleh itu, sesiapa yang melakukan sebegitu dia telah menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya sembelihan itu hanyalah menjadi daging untuk diberikan kepada keluarganya (sedekah) bukan termasuk binatang korban." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1961

Sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَلْيُعِدْ
Maksudnya:
"Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (Aidiladha), dia hendaklah mengulanginya." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5561.

Sabda Rasulullah s.a.w:


كُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبْحٌ
Maksudnya:
"Seluruh hari-hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan." – Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 16151.

2. Haiwan korban tersebut tidak memiliki kecacatan.

Kita hendaklah pastikan bahawa haiwan yang hendak kita korbankan tersebut adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan penyakit lain.

Sabda Rasulullah s.a.w:

أَرْبَعٌ لاَ تَجُوزُ فِي الأََضَاحِيِّ فَقَالَ الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءُ بَيِّنٌ ظَلْعُهَا وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تَنْقَى
Maksudnya:
"Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)." – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Dawud, 2420.

3. Tidak menggunting rambut dan memotong kuku.

Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Dzulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w:

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ
Maksudnya:
"Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.

Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.

Menurut Imam al-Nawawi r.h:

"Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atu bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain." – Rujuk Kitab Syarh Muslim karya Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139. Diukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, edisi terjemahan dengan tajuk Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, Pustaka Imam asy-Syafie, Jakarta (2005), ms. 98.

Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada ALLAH dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata:

"Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada ALLAH. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." – Rujuk Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96. Dinukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, ms. 99

4. Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian.

Jabir r.a berkata:

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya:
"Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah s.a.w ketika di Hudaibiyah. Seekor unta untuk 7 orang dan menyembelih lembu untuk 7 orang bersama-bersama Rasulullah s.a.w." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1318.

5. Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya.

Seseorang dibenarkan berkorban serta berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun jumlah yang ramai dan hanya dengan seekor kambing atau sebahagian dari tujuh bahagian itu.

Atha’ bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara berkorban pada zaman Rasulullah s.a.w. Lalu Abu Ayyub menjawab:

كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ
Maksudnya:
"Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain." – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1425.

No comments: